Leka Bermain Lumpur Akhirnya 6 Anak Gajah Terpaksa Diselamatkan. | BANGKOK – Gelagat enam ekor anak gajah yang leka bermain kolam lumpur di sebuah taman negara dalam wilayah Prachin Buri, Thailand, mencuit hati netizen apabila kesemua haiwan itu berdepan kesukaran untuk keluar ke tanah, lapor laman berita The Thaiger semalam.
Anak-anak gajah itu dikatakan bermain lumpur terlalu lama sehinggakan ia keletihan dan tidak dapat keluar dari kolam lumpur tersebut.
Dengan badan yang berlumpur, anak-anak gajah itu dilihat tergelincir dan menggelongsor di sekeliling kolam.
Keadaan itu membuatkan kakitangan Taman Negara Thap Lan terpaksa pergi ke kawasan tersebut untuk membantu kawanan itu keluar dari lumpur.
Mereka menggunakan penyodok dan tuil untuk menggali cerun supaya haiwan-haiwan itu dapat berjalan keluar.
Renjer taman negara itu berkata, terdapat seekor anak gajah nakal yang menjadi ketua kawanan itu dan ia disyaki menjadi ‘dalang’ kepada aktiviti haiwan-haiwan tersebut.
Ketua taman negara itu mendedahkan bahawa kejadian itu sebenarnya berlaku pada 2019 tetapi baru sahaja disiarkan di Facebook taman negara itu kelmarin, lalu menarik perhatian ramai netizen di Thailand. – Agensi
Sumber : Kosmo