Lelaki Cuba Terjun Tingkat 16 Kondominium. | Kuala Lumpur: Tindakan pantas anggota bomba dan polis berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang cuba membunuh diri di tingkat 16 sebuah kondominium di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.58 pagi tadi.

“Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun cuba membunuh diri dengan berdiri di balkoni tingkat 16 bangunan kondominium berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota bertugas bersama pihak polis kemudian memujuk mangsa.

“Mangsa berjaya dipujuk oleh Unit High Rise Rescue Team (HRRT) jam 1.30 tengah hari.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat jam 1.50 tengah hari,” katanya.

Sumber : Metro & Bomba KL

Share.

Leave A Reply