Seorang Lelaki Ditemui Meninggal Dunia Atas Siling Rumah. | PURWOREJO – Seorang lelaki dilapor maut apabila terkena renjatan elektrik ketika sedang melakukan pemasangan perkakas elektrik baharu di daerah Purworejo, Jawa Tengah.

Memetik laporan Detik.com, mangsa ditemui maut di atas siling rumah dalam keadaan tangannya masih memegang wayar elektrik.

Difahamkan, mangsa yang berusia 42 tahun itu meninggal dunia ketika membuat pemasangan elektrik di rumah seorang wanita pada Ahad lalu.

Pemilik rumah, Suci Kurniasari sebelum itu menjelaskan bahawa isteri mangsa turut bekerja sebagai pembantu rumah di rumah miliknya.

Disebabkan mangsa sudah kerap membaiki bekalan elektrik di rumahnya, mangsa telah dipanggil untuk membuat pemasangan elektrik yang baharu untuk sebuah periuk nasi.

“Ya, dia terkena renjatan elektrik ketika sedang membaiki peralatan elektrik.

“Pada mulanya lampu dapur dibetulkan kerana ia terpadam dan ia selesai. Kemudian saya menyuruh dia untuk membuat sambungan baharu untuk sebuah periuk nasi. Saya minta dia pasang terus sahaja melalui palam elektrik di tepi peti ais, tetapi dia mahu membuat sambungan baharu.

“Jadi, saya menurut sahaja kehendaknya. Tambah pula, dia sudah biasa membaiki peralatan elektrik. Kemudian, ketika saya berada di luar tiba-tiba dia menjerit. Isterinya juga dengar kerana isterinya berada di dalam rumah.

“Saya panggil dari bawah tetapi dia terus senyap. Kemudian, ada orang yang pergi memeriksanya namun dia sudah terbaring,” jelas pemilik rumah berkenaan.

Susulan kejadian, pemilik rumah tersebut terus memaklumkan kepada jiran sebelum dilaporkan kepada polis daerah Purworejo. Setelah menerima laporan tersebut, pihak polis segera ke lokasi untuk melihat tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Purworejo, AKP Bruyi Rohman Warsito, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebelum mayat mangsa dipindahkan, mangsa dipercayai berada dalam keadaan terlentang manakala tangan kanannnya masih memegang kabel elektrik.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena renjatan elektrik. Hasil pemeriksaan kesihatan mendapati tiada tanda-tanda keganasan dan ia berlaku akibat kemalangan elektrik di tempat kerja.

“Keluarga mangsa telah menerima berita ini sebagai musibah dan mayat akan segera dibawa pulang untuk pengebumian,” kata pihaknya.

Sumber: Siakap Keli

Baca Juga: Tiga Beradik [email protected] Terkena Renjatan Elektrik Di Kelantan.

TUMPAT: Tiga beradik perempuan maut, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak, di sini, pagi tadi.

Kesemua mangsa berusia di antara 20 hingga 27 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian itu, kira-kira 11.45 pagi.

Difahamkan, seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah sebelum terkena pula kepada dua adiknya turut berada di hadapan rumah.

Ahli keluarga mangsa, Mohd Amin Mohd Nazir, 25, ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, ibu mangsa, Zainun Sulaiman, 62, berkata, ketiga-tiga anak perempuannya itu masih belum berumahtangga dan sangat rapat.

Katanya, pagi tadi, Nor Syazwani dan Nurul Fatiah yang mana kedua-duanya adalah guru tadika agama di dua premis berasingan sempat memasak nasi goreng dan membuat cucur untuk sarapan sebelum melakukan kerja rumah lain.

“Sakinah pula kurang sihat serta berasa sakit dada dan dia ada berkata mungkin dia nak mati disebabkan sakit itu namun saya memarahinya sambil memberitahu ia sakit biasa saja.

“Ketika sedang berehat di ruang tamu, saya terdengar bunyi bising seperti orang menjerit di rumah jiran bersebelahan dan keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya ternampak tiga anak perempuan terbaring di dalam air sebelum diberitahu mereka sudah meninggal dunia kerana renjatan elektrik,” katanya.

Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak sebaik proses itu selesai.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply