Lelaki Ini Kongsi Pengalaman MENAKUTKAN Dijangkiti Cacar Monyet. | Seorang pesakit cacar monyet kongsi pengalaman dan memberi amaran bahawa kesan penyakit berkenaan didakwa lebih teruk berbanding Covid-19, lapor Daily Star.

Harun Tulunay, 35, pada awalnya menyangka bahawa dia menghidap kembali Covid-19 selepas baru sahaja dijangkiti wabak itu sebelum ini.

Menurut laporan, pada awalnya dia hanya mengalami demam dan menganggapnya akan hilang, namun sebaliknya terjadi apabila dia terpaksa dimasukkan ke dalam hospital serta diasingkan.

Lebih teruk lagi, simptom yang dialami oleh Harun menyebabkan lelaki itu pengsan dan mengalami luka pada bahagian muka, lapor MyLondon menerusi Daily Star.

Pada 10 Jun lalu, dia membuat ujian Covid-19 namun disahkan negatif walaupun kelenjarnya mula membengkak hingga menyebabkan rasa sakit di bawah telinganya, disertai ruam merah dan putih yang dianggap jerawat biasa dan bukannya cacar monyet.

Bagaimanapun, perkara itu diketahuinya dua hari kemudian apabila dia perasan terdapat luka pada muka.

“Sewaktu demam yang tidak kebah selama seminggu, rakan-rakan saya menghubungi 111 untuk mendapatkan bantuan. Saya juga menghubungi mereka sebanyak lima atau enam kali dan memberitahu simptom yang sedang dialami saya apabila demam,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penguam bela kesihatan seksual menjelaskan, lelaki berkenaan mengalami demam sehingga suhu mencapai 39.7 darjah celsius.

Apa yang pelik adalah Harun menggigil sehingga terpaksa menggunakan empat lapis selimut.

Sehubungan itu, Harun telah dinasihatkan untuk membuat ujian cacar monyet di klinik kesihatan.

Akhirnya dia disahkan menghidap penyakit tersebut yang diisytiharkan sebagai penyakit darurat peringkat global oleh Pertubuhan kesihatan sedunia (WHO) baru-baru ini.

Harun kemudiannya mendapatkan rawatan di Amerika Syarikat selepas diluluskan.

“Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya terpaksa melalui pengalaman yang teruk berbanding Covid-19 dan (kini) saya mengalami kedua-duanya,” kata Harun.

Tambah Harun, kes itu sangat jarang berlaku dan ramai yang hanya menghidapi sakit biasa, tidak sepertinya yang mengalami beberapa luka.

“Luka yang besar itu membuatkan saya menangis kerana takut ia akan meninggalkan parut sehingga terjaga pada waktu malam dan menggigil bersendirian di dalam bilik,” maklumnya.

Perkara itu membuatkan dia berfikir sama ada ubat yang diberikan berkesan dan tempoh masa untuk luka itu hilang.

Kini, dia menjelaskan bahawa luka itu telahpun mengecut dan dia mula berasa lebih sihat dan rindu untuk pulang ke rumah.

Sumber : Siakap Keli

Share.

Leave A Reply