Dakwaan seorang lelaki di Majalengka, Jawa Barat, Indonesia yang mendakwa pernah bernikah sebanyak 87 kali menimbulkan persoalan.
Ini kerana pejabat agama tempatan tidak menemui rekod pernikahan sebagaimana didakwa lelaki dikenali sebagai Kaan, 61, itu.
Susulan pendedahan lelaki itu, portal Detik.com membuat semakan dengan pejabat agama tempatan di Bantarujeg dan Lemahsugih.
Ia adalah dua pejabat agama yang terletak berhampiran dengan tempat tinggal Kaan iaitu Desa Cipeundeuy.
Walau Bagaimanapun, kedua-dua pejabat agama itu tidak dapat membuat pengesahan tentang dakwaan lelaki berkenaan.
Menurut Nanang Sudrajat, Ketua Pejabat Agama di Lemahsugih, belum pernah ada penduduk yang bernikah berpuluh-puluh kali.
“Saya bertugas di pejabat ini dari 2019… sepanjang pengalaman saya, penduduk yang nikah cerai tidak ada lebih berpuluh kali, selalunya dua kali,” katanya.
Nanang berkata, berdasarkan semakan, nama Kaan tidak ditemukan di dalam pangkalan data.
‘Jika nikahnya dari 2000-an sehingga kini, mudah untuk kesan, kerana (rekod) sudah masuk pangkalan data. Kalau nikah sudah lama (itu sukar).
Sementara itu, Ian Supian yang merupakan Ketua pejabat agama di Bantarujeg juga menyatakan benda yang sama.
“Saya sudah membuat pengesahan dengan pegawai di sini yang bekerja sejak 1992. Belum ada (individu) bernama Kaan yang mengemukakan permohonan bernikah di sini,” katanya.
Media tempatan sebelum ini Kaan digelar ‘Playboy Majalengka’ didakwa bernikah 87 kali, namun menyatakan pernikahan itu banyak kali dilakukan mengikut hukum Islam.
Lelaki itu juga mendakwa tidak semua pernikahan itu dengan isteri baharu, ada membabitkan bernikah semula dengan bekas isteri.
Menjengah di ruangan komen di Facebook, ramai netizen yang menyatakan agak mustahil bagi seseorang individu untuk berkahwin sebanyak yang ditetapkan itu.
Sumber: Harian Metro