Lelaki Myanmar Bunuh Rakan Kerana Cemburu Rapat Dgn Majikan | KLUANG – Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki membunuh rakannya di ladang buah-buahan di Jalan Renggam – Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang kira-kira pukul 12.55 tengah malam mengenai kematian seorang lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun.

Tikam bahagian rusuk

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan dengan dua kesan tikaman di dada kiri, masing-masing satu tikaman di rusuk kiri dan kanan.

“Hasil maklumat daripada isteri mangsa, suspek mula bertengkar dengan suaminya pada pukul 7.45 malam Jumaat (kelmarin) sehingga berlaku pergelutan yang mengakibatkan mangsa ditikam menggunakan gunting pemotong dahan.

Tidak puas hati rapat dengan majikan

“Punca pertengkaran dikatakan kerana rasa tidak puas hati suspek apabila mangsa sentiasa berhubung rapat dengan majikan mereka,”katanya di sini hari ini.

Menurut Bahrin lagi, susulan daripada kejadian itu pada pukul 5 petang semalam, seorang lelaki warga asing berusia 30an ditahan di ladang itu manakala pukul 9 malam seorang lagi lelaki berusia ditahan di ladang pisang Bukit Benut dipercayai sebagai rakan suspek.

Tambahnya lagi, suspek utama yang melarikan diri dipercayai masih berada dalam daerah ini dan susulan itu Ops Cantas dilancarkan bagi mengesan pergerakannya kerana mungkin cuba untuk keluar dari negara ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat lelaki ini dan yang mencurigakan diharap dapat menghubungi Balai Polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga Artikel Menarik Ini :

Lelaki Mati Ditembak Polis Selepas Ancam Bunuh Ibu Kandung | BAGAN DATUK: Seorang lelaki mati ditembak polis selepas menjadikan ibu kandung sebagai tawanan dan mengancam membunuh mangsa dengan parang, ketika cuba mengelak ditahan dalam kejadian di Kampung Teluk Kompol Hutan Melintang di sini.

Bawah Pengaruh Dadah

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata Polis Daerah Hilir Perak menerima laporan ahli keluarga lelaki berusia 44 tahun di bawah pengaruh dadah, yang bertindak agresif pada jam 10 pagi semalam.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, sepasukan anggota jabatan jenayah narkotik dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

“Setibanya di lokasi, polis memujuk suspek untuk memberikan kerjasama, namun dia enggan dan bertindak agresif.

“Suspek kemudiannya mengugut untuk menetak dan mencederakan ibunya yang berusia 72 tahun. Suspek turut meletakkan parang di tengkuk mangsa ketika menuntut polis beredar.

“Pihak polis secara berhati-hati, memotong pintu jeriji yang dikunci dari dalam oleh suspek menggunakan pemotong besi. Namun, suspek yang menyedari polis memasuki rumah itu, bertindak menolak ibunya sehingga jatuh dan pengsan serta menghayun parang ke arah polis yang cuba menangkapnya.

Suspek Serang Polis Guna Parang

“Dalam keadaan ancaman nyawa yang dihadapi, anggota polis melepaskan satu das tembakan ke arah suspek yang terkena di bahagian bahu kiri menyebabkan lelaki itu rebah ke lantai dan mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.

Mohd Yusri berkata, polis menghubungi ambulans ke tempat kejadian bagi membantu suspek dan mangsa yang cedera.

“Walau bagaimanapun, suspek disahkan meninggal dunia sebaik pihak perubatan tiba di lokasi.

‘Mayat suspek dibedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh hari ini, sementara siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh serta kematian mengejut (SDR),” katanya.

Beliau berkata, suspek adalah seorang duda yang bekerja sebagai buruh kampung yang mengusahakan kebun sawit seluas satu ekar milik keluarga di belakang rumah ibunya.

“Siasatan awal mendapati, suspek memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah,” katanya.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply