Seorang peniaga pasar malam bersama tiga rakan yang sudah meninggal dunia, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan mencuri sebuah pikap, Ford Ranger, dari sebuah rumah di Kampung Seri Pinang 2 dekat Palekbang di sini pada 3 Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Zubairi Yaacob, 37, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sejurus mendengar pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Kamarul Hasyime Rosli.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa bersama tiga lelaki yang sudah meninggal dunia iaitu Ahmad Syafiq Abdul Malik, 30; Mohd Khairul Anuar Iskandar, 33 dan Amir Sidi Ahmad, 50; mencuri pikap Ford Ranger berwarna biru milik, Mohd Asraf Mohd Asri, 29.

Perbuatan itu dilakukan mereka di sebuah rumah di Kampung Seri Pinang 2 dekat Palekbang di sini pada jam 1.20 pagi pada 3 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kecurian itu mengikut Seksyen 379A, Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Adha Amir Yasser.

Terdahulu, Muhammad Shahril menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Ahmad Adha Amir memohon anak guamnya diberi ikat jamin yang rendah kerana perlu menyara dua orang isteri dan lima anak berusia empat hingga 15 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, tiga lelaki maut termasuk dua daripadanya rentung selepas sebuah kereta terbabas dan terbakar di Jalan Wakaf Bharu – Palekbang, di sini, 3 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 37 tahun sempat melarikan diri tetapi ditahan polis, jam 4.30 petang pada 14 Februari lalu di hadapan kedai makan di Jalan Kampung Dusun, Kota Bharu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, dilaporkan berkata hasil siasatan mendapati suspek yang juga seorang penarik kereta, terbabit dalam kejadian samun pikap Ford Ranger di Kampung Sungai Pinang, di sini.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply