SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) — Polis sedang memburu lima suspek kes samun bersenjata di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Petaling, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian pada sebelah petang itu, lima suspek yang memakai topeng, sarung tangan serta bersenjatakan parang telah meletakkan kenderaan mereka di laluan belakang sebuah rumah sebelum memasuki kediaman itu melalui pintu belakang.

Beliau berkata lima sekeluarga berumur 38 hingga 70 tahun berada di dalam rumah itu semasa kejadian, dan suspek mengikat tangan serta menutup mulut empat daripada mereka sebelum ditempatkan di dalam dua bilik, manakala seorang lagi mangsa tidak diikat, dipercayai atas faktor usia.

Menurutnya beberapa suspek turut memukul seorang mangsa perempuan berusia 45 tahun di bahagian hidung dan badan sebelum mengetuk kepalanya menggunakan belakang parang sehingga menyebabkan kecederaan.

“Suspek kemudian menyelongkar bilik dan melarikan wang tunai kira-kira RM4,000, barang kemas bernilai sekitar RM20,000 dan lima telefon bimbit, sebelum keluar melalui pintu sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata kereta yang digunakan suspek kemudiannya dijumpai di sebuah lorong di kawasan perumahan Taman Desawan, Klang, dan semakan mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor plat palsu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan auspek atau kejadian itu diminta menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Klang Selatan dengan menelefon 03-33762222 atau hubungi mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Beliau berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan samun, dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan, yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebatan.

Terdahulu satu rakaman video berkaitan kejadian itu didapati tular di media sosial, memaparkan sekumpulan lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah dan menaiki sebuah kereta.

Sumber: Siakap Keli

 

Baca Juga: Dua Rakan Menyamar Polis Mengaku Salah Cubaan Rompak

KUALA LUMPUR – Dua rakan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak seorang lelaki dengan mengheretnya menggunakan motosikal serta menyamar sebagai pegawai polis.

Muhammad Zuraidi Abdullah, 28, dan Muhd Ammar Haziq Zulkifli, 27, membuat pengakuan bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 7 Mac ini untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa melakukan rompakan berkumpulan sebuah telefon bimbit jenama Apple iPhone 6 Plus milik seorang lelaki berusia 25 tahun dan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan mengheretnya menggunakan motosikal.

Bagi pertuduhan pertama itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis bagi tujuan melakukan rompakan yang didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Jalan Kuchai Maju, di sini, pukul 4.30 pagi pada 28 Januari lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh. Pihak pendakwaan memohon tarikh lain untuk membaca fakta sebelum jatuh hukum.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu kemudian tidak diikat jamin.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply