Luahan Ibu Mangsa Dihempap Tiang Elektrik. | ALOR SETAR: “Arwah sebelum ini ada bertanyakan mengenai maksud namanya, ibu, bapa serta adiknya, sama ada mempunyai maksud elok atau tidak, sambil mencari makna nama itu melalui carian di internet.

“Saya beritahu namanya bermaksud bijak serta terpelajar sambil menyuruhnya supaya belajar dengan rajin. Lepas itu dia bertanyakan pula nama malaikat maut, selain syurga dan neraka. Tak sangka pula itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selamanya,” kata Sharifah A Rahim, 35.

Sharifah adalah ibu kepada Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, yang meninggal dunia akibat dihempap tiang elektrik di Kampung Belukar, Jalan Kampung Darat, Changlun, semalam.

Rakan mangsa, Wan Aliff Danish Abdullah, 10, masih lagi kritikal bersama seorang lagi rakan mereka berusia 11 tahun dalam rawatan di Hospital Jitra.

Sharifah berkata, beliau reda dengan pemergian anak kedua dari tiga beradik itu, kerana anak sulungnya yang juga kakak arwah meninggal dunia ketika berusia empat minggu.

“Dia mungkin ikut kawan-kawan bermain di situ kerana sebelum ini dia tak pernah ke sana.

“Saya terkejut dengan apa yang berlaku kerana lokasi kejadian hanya 50 meter dari rumah neneknya, Zaiton Abu, 64,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Sharifah berkata, suaminya, Ruslizan Ali, 42, kini tidak bekerja sejak terbabit kemalangan akibat diserang sawan ketika memandu teksi.

Katanya, suaminya yang baru pulih selepas koma hampir dua minggu, kini mengharapkan bantuan ibu dan bapa mereka serta orang ramai untuk membantu.

“Tiang elektrik itu hanya disendal dengan kayu saja dan ketika kejadian ada bunyi kuat dan memang saya sudah syak ada benda buruk berlaku kerana lokasi kejadian bertentang dengan rumah neneknya dan boleh nampak dari jauh.

“Arwah memang tak pernah bermain di situ dan rupanya anak saya yang meninggal,” katanya.

Sharifah yang juga suri rumah berkata, longgokan tiang elektrik itu diletakkan di lokasi itu sejak sebelum Aidilfitri lalu.

Jenazah anaknya akan dikebumikan di Kampung Berona Kanan, Jeniang, hari ini.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Mohd Nizam Saidin, berkata pihak sekolah terutama guru-guru di sekolah itu terkejut dengan kejadian yang menimpa dua murid sekolah itu.

Katanya, kedua-dua murid berkenaan sangat baik dan rajin di sekolah sehinggakan ramai yang sedih.

“Kami mengadakan bacaan Yasin untuk arwah dan seorang lagi murid yang masih dirawat di hospital selain mengadakan kutipan untuk bantuan buat keluarga mereka,” katanya.

Dalam kejadian semalam, seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia manakala dua rakannya tidak sedarkan diri selepas dihempap tiang elektrik ketika bermain di Kampung Belukar, Jalan Kampung Darat, Changlun.

Terdahulu dilaporkan… Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia, manakala dua rakannya tidak sedarkan diri selepas dihempap tiang elektrik ketika bermain di Jalan K16, Kampung Belukar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata mangsa yang meninggal dunia berusia 10 tahun dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, manakala dua lagi kanak-kanak berusia 10 tahun dan 11 tahun, masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian paha dan pinggang.

“Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan. Hasil siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata kanak-kanak terbabit, dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di tepi jalan berkenaan, yang kemudiannya jatuh dan menghempap mangsa.

Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.33 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azman Shahidan bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, komander operasi menerima maklumat tiga mangsa berusia sekitar 11 tahun dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di tepi jalan berkenaan sebelum ia terjatuh dan menghempap mangsa.

“Seorang kanak-kanak didapati sudah meninggal dunia, manakala dua lagi kanak-kanak tidak sedarkan diri. Mereka dikeluarkan daripada longgokan tiang oleh orang awam dan kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply