Mahkamah Tinggi Batal Keputusan Koroner Dalam Kes Zara Qairina, Kenapa Jadi Macam Ni? | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini membatalkan keputusan koroner terdahulu. Yang membenarkan peguam bagi tertuduh remaja menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan. pihak-pihak yang terbabit masih bebas untuk memperbaharui permohonan mereka di hadapan koroner baharu yang akan mendengar prosiding inkues berkenaan.
Koroner Tidak Wajar Buat Keputusan Sebelum Tarik Diri
Menurut hakim, koroner terdahulu tidak sepatutnya membuat keputusan substantif sebelum menarik diri daripada kes itu atas alasan kepentingan peribadi.
“Selepas berpandangan bahawa beliau tidak boleh meneruskan kes, adalah tidak wajar untuk memutuskan isu substantif yang sepatutnya diserahkan kepada pertimbangan koroner baharu.
Tindakan itu seolah-olah membuat keputusan bagi pihak koroner akan datang dan menjejaskan prinsip kesaksamaan,” katanya.
Semakan oleh Keluarga Zara Qairina dan SLS
Keputusan Mahkamah Tinggi ini dibuat selepas mendengar semakan yang difailkan oleh pasukan peguam keluarga Zara Qairina serta Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
SLS membangkitkan dua persoalan undang-undang utama:
Sama ada koroner terkhilaf dari segi undang-undang apabila membenarkan peguam tertuduh remaja diterima sebagai pihak berkepentingan.
Sama ada keputusan itu masih sah, memandangkan koroner terbabit kemudian menarik diri kerana potensi konflik kepentingan.
Bantahan Awal Ditolak
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah. Membantah permohonan semakan oleh SLS dengan alasan SLS hanya hadir sebagai pemerhati dan tidak mempunyai locus standi.
Namun, Hakim Duncan menolak bantahan itu, dengan menegaskan bahawa Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak rekod prosiding di mahkamah bawahan demi memastikan kesahan dan kewajaran sesuatu keputusan.
“Memandangkan ada dimensi kepentingan awam dalam perkara ini dan peranan SLS sebagai penjaga kepentingan tersebut, locus standi tidak sepatutnya menghalang mereka daripada membangkitkan isu ini,” katanya.
Barisan Peguam yang Terlibat
SLS: Datuk Mohamed Nazim Maduarin, Jamadi Saleh, Dominic Ghani, dan Nabila Norsahar.
Keluarga Zara Qairina: Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser, dan Elhanan James.
Tertuduh Remaja: Datuk Ram Singh, Joan Goh, Prem Elmer Ganasan, Azhier Farhan Arisin, dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah.
Prosiding Inkues Akan Diteruskan
Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz. Mengumumkan bahawa inkues akan diteruskan seperti dijadualkan. Tetapi akan didengar di hadapan koroner baharu iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.
Tarikh perbicaraan ditetapkan bermula 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September, dan 22 hingga 30 September ini.
Latar Belakang Kes Zara Qairina
Pada 20 Ogos, lima remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan menghina terhadap Zara Qairina.
Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolah agama di Papar pada 16 Julai, dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokannya.
Kematian pelajar berusia 13 tahun itu mencetuskan gelombang solidariti awam. Dengan desakan daripada pemimpin negeri, aktivis, serta pertubuhan bukan kerajaan agar siasatan menyeluruh dijalankan demi mencari keadilan.



