Mahu Hantar Baju, Kuih Raya Antara Alasan Rentas Daerah Dan Negeri | Seperti yang diketahui larangan pulang ke kampung halaman untuk sambutan perayaan Aidilfitri telah dilaksanakan. Hal ini bertujuan untuk memastikan kes Covid-19 di negara ini tidak meningkat dengan pantas. Meskipun begitu masih terdapat ramai yang masih ingkar dengan arahan terbabit dan mencuba merentas daerah dan negeri dengan pelbagai alasan.

Mahu Hantar Baju, Kuih Raya Antara Alasan Rentas Daerah Dan Negeri

Petaling Jaya: Polis mengesan pengguna jalan raya menggunakan pelbagai alasan yang tidak munasabah seperti mahu menghantar baju dan kuih raya bagi membolehkan mereka untuk merentas daerah dan negeri tanpa surat kebenaran polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya tidak mengenakan kompaun sebaliknya mengarahkan individu terbabit untuk berpatah balik.

Beliau berkata, , tindakan kompaun akan dikenakan serta-merta tanpa kompromi terhadap pemandu yang ingkar.

Katanya, pihak polis sudah melakukan sekatan jalan raya bermula semalam dan mendapati masih ramai pengguna jalan raya yang berdegil untuk merentas negeri dengan tujuan yang tidak sepatutnya dan mereka diarahkan untuk berpatah balik.

Tambahnya, antara alasan yang diberikan ialah hantar baju ke rumah kawan di Shah Alam, beli barang, bawa keluarga untuk beli-belah di kawasan Shah Alam.

Menurut Mohamad Fakhrudin, pihaknya akan membuka laluan tambahan bagi melancarkan pergerakan lalu lintas waktu hari bekerja namun pemeriksaan ketat tetap dijalankan seperti biasa.

Mohamad Fakhrudin turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Sungai Besi mendapati aliran trafik di beberapa laluan utama keluar masuk ibu negara terkawal walaupun berlaku sedikit kesesakan susulan pemeriksaan ketat dilakukan polis dalam sekatan jalan raya.

Pada Sabtu lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua aktiviti rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 10 Mei hingga 6 Jun ini.

Sumber: Bernama

Share.

Leave A Reply