Malaysia Masih Bebas ‘Varian XE’. Terdapat virus corona yang baru dikenali sebagai varian Omicron XE. Kementerian Kesihatan (KKM), menyatakan Malaysia masih bebas daripada virus ini. Baca selanjutnya.
IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Malaysia belum mengesan kehadiran mutasi baharu varian Omicron dinamakan XE yang setakat ini hanya dikesan di negara jiran iaitu Thailand.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedang mengikuti perkembangan berkaitan varian baharu itu yang mana KKM sendiri belum mengetahui ciri-cirinya varuan berkenaan.
“Ada dua benda yang kita lihat pada varian baharu ini iaitu kebolehjangkitan dan keseriusannya.
“Kebolehjangkitan Omicron contohnya lagi tinggi daripada Delta, sebab itu kes melambung naik…tetapi keseriusan (Omicron) lebih sederhana daripada Delta, sebab itu kita punya Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak penuh seperti dahulu.
“Di sini (Malaysia) belum lagi (dikesan varian XE), tetapi di Thailand ada,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja di Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan kerja di Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan Hospital Batu Gajah.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihaknya perlu melihat secara lebih mendalam daripada aspek kebolehjangkitan dan keseriusan varian baharu itu terhadap negara lain.
“Jadi untuk varian baharu ini, kita kena tengok daripada negara lain, sama ada kebolehjangkitan tinggi ataupun keseriusannya tinggi, selepas itu barulah kita boleh ambil langkah yang sepatutnya.
“Kalau keseriusannya tinggi, tiba-tiba orang yang dijangkiti dan selepas itu dia betul-betul sakit dan terpaksa masuk ke hospital, jadi kita kena tukar strategi, tetapi buat masa ini strategi kita tepatlah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai satu mutasi baharu varian Omicron dinamakan XE, yang lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian COVID-19.
Menurut laporan Times of India, WHO menerusi laporan terbaharunya berkata, varian berkenaan adalah gabungan mutasi hibrid dua versi terdahulu bagi Omicron iaitu BA.1 dan BA.2.
Sumber: Berita Harian