Malaysia Sumbang 5 juta, Bantu Bina Semula Klinik Al-Rimal, Palestin | Malaysia dikhabarkan akan menyumbang kepada Palestin sebanyak RM5 Juta bagi membina semula Klinik Al-Rimal yang menempatkan satu-satunya makmal ujian COVID-19 di Gaza yang mengalami kerosakan akibat serangan udara Israel pada Mei yang lalu.
Satu pertukaran Nota (EoN) berkaitan sumbangan terbabit telah dimeterai oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali di Kementerian Luar (Wisma Putra), di sini pada Khamis.
Menurut Saifuddin, sumbangan menerusi Tabung Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu mencerminkan sokongan padu Malaysia terhadap kerajaan dan rakyat Palestin.
Jelasnya, serangan yang dilakukan oleh Israel secara tidak henti-henti telah memusnahkan infrastruktur awam di Gaza, termasuk kemudahan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kritikal kepada rakyat Palestin di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.
Kata Saifuddin lagi, Kerajaan Malaysia juga telah memutuskan untuk memberikan sumbangan jangka panjang kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), sebagai menyokong usaha agensi itu membantu rakyat Palestin.
Difahamkan, sumbangan tersebut adalah sebagai pelengkap kepada usaha kemanusiaan dan bantuan dari Malaysia, termasuk yang dilakukan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.
Selain bantuan kewangan juga, Saifuddin turut menyatakan bahawa Malaysia juga sedang mencari kaedah lain untuk membantu rakyat Palestin dari segi pendidikan dan pekerjaan.
Tambahnya lagi, dari segi pekerjaan serta kebajikan rakyat Palestin juga akan dijaga bagi mengelakkan mereka diekspolitasi.
Sementara itu, Walid berkata klinik itu sangat penting kepada penduduk Palestin kerana ia juga digunakan sebagai ibu pejabat Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza. Klinik itu mengalami kerosakan akibat serangan Israel selama 11 hari pada Mei.
Beliau berpandangan bahawa Malaysia adalah antara negara yang menghulurkan bantuan kewangan segera kepada Palestin justeru mereka amat hargai bantuan diberikan Malaysia untuk membina semula apa yang telah rosak akibat serangan udara Israel.
Walid berkata beliau turut menzahirkan penghargaannya kepada Malaysia yang senantiasa menyokong perjuangan Palestin sejak lebih tujuh dekad.
Sumber: Berita Harian