Penduduk di lebih 50 kawasan perumahan dan perindustrian di sekitar Taman Molek hingga Bandar Seri Alam, Masai di sini, masih dibelenggu masalah gangguan bekalan air selama tiga hari berturut-turut.
Penduduk di Plentong, Syed Sallilah@ Bakhtiar Syed Mashor, 39, berkata masalah gangguan air berlaku sejak kelmarin itu menimbulkan pelbagai kesulitan kepada orang ramai.
Malah, beliau berkata, penduduk juga khuatir masalah terbabit akan berlarutan sehingga tempoh beberapa hari lagi kerana ia boleh menjejaskan rutin harian penduduk.
“Saya difahamkan beberapa kawasan menerima bekalan air selama beberapa jam buat sementara waktu semalam, selain syarikat Ranhill SAJ turut membekalkan air menggunakan lori.
“Air dibekalkan mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah malam mengikut jadual ditetapkan dan kami bersyukur sekurang-kurangnya ada usaha dilakukan bagi menyalurkan bekalan namun ia masih tidak mencukupi.
“Kami beratur dan bergilir mendapatkan bekalan air dan membawanya ke rumah, tetapi tidak dapat menampung keperluan keluarga terutama yang mempunyai ramai anak.
“Sebagai penduduk, kami dapat memahami cabaran dialami Ranhill SAJ atau pihak berkaitan bagi mengatasi kerosakan utama berpunca paip pecah, selain tanah runtuh di lokasi terbabit, namun diharap ia diperbaiki segera,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib, berkata usaha menyalurkan bekalan air sementara ke semua kawasan terjejas sedang dipergiatkan.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha menambah sumber bekalan air untuk disalurkan kepada orang ramai menerusi lori.
“Setakat ini selain Ranhill SAJ, kemudahan lori tangki dari Pelabuhan Johor juga membantu bagi membawa bekalan air ke kawasan terjejas serta kita berusaha mendapatkan kemudahan pengangkutan lain bagi tujuan sama.
“Antara kawasan terjejas termasuk Megah Ria, Taman Rinting, Kota Puteri dan Bandar Seri Alam.
“Tempoh siap kerja baik pulih dilakukan pihak Ranhill SAJ masih belum dipastikan kerana kerja sedang dijalankan dan diharap penduduk dapat bersabar,” katanya.
Sementara itu, Ranhill SAJ dalam satu kenyataan memaklumkan status terkini kejadian paip pecah berhampiran Persiaran Seri Alam, Masai di sini.
“Kerja baik pulih paip bersaiz 1,000 milimeter (mm) dan 1,200mm disebabkan kerja menaik taraf sistem bekalan air bersih yang dijalankan pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) terpaksa dilanjutkan berikutan berlaku beberapa insiden luar jangkaan iaitu runtuhan cerun tanah.
“Kejadian itu mengakibatkan kerja baik pulih terhenti, sekali gus memberi kesan kepada kelewatan proses membaiki paip pecah.
“Pihak Ranhill SAJ mengurangkan gangguan bekalan air menerusi keberkesanan inisiatif pengolahan sistem bekalan air yang membolehkan pengguna terjejas di beberapa kawasan di zon Masai dan Tanjung Langsat mula menerima bekalan air sehingga kerja baik pulih selesai sepenuhnya,” katanya.
Pengguna di kawasan terjejas boleh mendapatkan maklumat berkaitan gangguan bekalan air melalui aduan Ranhill SAJ di talian 1800887474 atau emel [email protected] atau sms: ATRanhillSAJAduan dan hantar ke 6300.
Sumber : Berita Harian