“Masjid Di Kuala Perlis Perlu Hadkan Aktiviti Pengimarahan, Ketatkan SOP” – Arah MAIPs | Berikutan berlakunya peningkatan kes jangkitan akibat Covid-19 di Kuala Perlis serta kawasan sekitar, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengeluarkan arahan supaya masjid di kawasan terbabit mengehadkan aktiviti pengimarahan serta mengetatkan prosedur operasi standard (SOP), baru-baru ini.

"Masjid Di Kuala Perlis Perlu Hadkan Aktiviti Pengimarahan, Ketatkan SOP" - Arah MAIPs

Arahan tersebut turut diperkukuhkan lagi selepas Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  telah memberikan titah supaya tindakan susulan perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri Perlis khusunya di kawasan Kuala Perlis serta sekitarnya.

Baginda juga bertitah supaya semua masjid di Kuala Perlis dan sekitarnya untuk terlibat dengan arahan pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad dan SOP diperketatkan bermula waktu solat zohor hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian melalui satu kenyataan yang telah dikeluarkan hari ini oleh MAIPs.

Titah baginda turut menyebut bahawa hanya pegawai bertugas (imam, bilal dan siak) serta jemaah yang terdiri daripada kalangan jawatankuasa kariah masjid tidak melebihi 12 orang sahaja dibenarkan manakala mereka yang berada dalam kawasan terlibat dilarang keluar dari kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di tempat lain.

Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah supaya sekiranya terdapat individu yang melanggar ketetapan tersebut, orang ramai telah diminta untuk membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) supaya tindakan seterusnya dapat diambil.

Titah baginda turut menyatakan terdapat enam masjid yang terlibat ialah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang selepas 16 kes telah dilaporkan di negeri Perlis, baru-baru ini.

Kenyataan menerusi MAIPs tersebut turut menasihati orang ramai supaya untuk terus berwaspada dan jangan alpa, khususnya apabila berada bersama individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan yang tinggi kes COVID-19.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply