Mayat Dijumpai Dalam Bagasi, Ahli Perniagaan Disyaki Dibunuh Dua Rakan | Dua rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan yang mayatnya ditemukan dalam sebuah bagasi di gaung berketinggian 27 meter di Hulu Langat, dekat sini.
Pemandu perkhidmatan e-hailing, J Devan, 41, dan penganggur, S Hariharan, 22, mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan, di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka dituduh bersama-sama membunuh Mohamed Usman Chan Bacha, 41, di kawasan tebing curam, tepi jalan Sungai Tekali, Batu 14, Hulu Langat, dekat sini antara 12.45 tengah hari, 26 April dan 6.40 petang, 28 April lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala Devan diwakili peguam Kenny Tan Cheng Yee manakala rakannya tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes.
SUMBER: SINAR
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Kes Pembunuhan Zarina, Seorang Pesara Lelaki Direman 7 Hari
Seorang pesara direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita di kawasan semak di tepi jalan Kampung Alor Gali menghala ke Wakaf Tapai di sini, Khamis lalu.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berumur 59 tahun itu dikeluarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek ditahan di Jeli, Kelantan, 2.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris dalam kenyataan semalam berkata identiti mangsa telah dikenal pasti sebagai Zarina Mukhtar, 57, berpandukan padanan rekod cap jari Jabatan Pendaftaran Negara serta menerusi Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura (D2) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Mayat itu ditemukan orang awam tanpa sebarang kesan tikaman, tetakan atau kelar dan tiada kesan pergelutan atau tompokan darah dijumpai di lokasi itu.
Sumber : BH