Mayat Lelaki Terjun Jambatan Semalam Ditemui. | Mayat seorang lelaki yang bertindak terjun dari Jambatan Sultan Ismail 1, di sini, semalam, sudah ditemui selepas ia tersangkut di sebatang pokok, berhampiran Jambatan Kedua Muar, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, kira-kira 5.30 petang, pihak bomba menerima maklumat daripada orang awam menemukan mayat mangsa tersangkut di sebatang pokok nipah berhampiran Jambatan Kedua Muar.
“Pihak bomba kemudiannya ke lokasi kejadian yang dilaporkan sebelum mayat mangsa dibawa ke Jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Semalam, kejadian pada 3.42 petang, mangsa dikenali sebagai Lim Wee Leong, 34, meninggalkan motosikal dan seliparnya di laluan motosikal sebelum bertindak terjun dari Jambatan Sultan Ismail 1,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, semalam, pihak bomba melakukan operasi pencarian menggunakan kaedah ‘surface searching’ di tempat kejadian namun gagal menemui mangsa sebelum operasi disambung semula pada hari ini
“Seramai 10 orang anggota, satu jentera FRT, dua jentera LFRT dan dua unit RIM dan satu unit Utiliti Bot Aluminum daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar di hantar ke tempat kejadian.
“Operasi kemudiannya ditamatkan pada 6.05 petang tadi, katanya.
Sumber : Metro