Susulan Kes Kubur Berdarah, Ini Penjelasan Mufti Yang Ditunggu Ramai

| September 22, 2020 | 0 Comments

Susulan Kes Kubur Berdarah, Ini Penjelasan Mufti Yang Ditunggu Ramai | Berhubung insiden pusara keluar cecair merah yang menjadi tular di media sosial beberapa hari kebelakangan ini, ini komen mufti pula buat netizen

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta supaya tidak membuat spekulasi sendiri sehingga me­nimbulkan fitnah berhubung kejadian ‘kubur berdarah’ di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-­Irfan, Derga, Alor Setar, Sabtu lalu.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perkara itu juga tidak sepatutnya ditularkan demi menjaga maruah dan aib si mati serta ahli keluarganya.

“Masyarakat yang menerima berita seperti ini (kejadian kubur berdarah) perlu menggunakan akal fikiran matang, terbuka serta perlu kepada penyiasatan lanjut. Ini demi menggelakkan sebarang fitnah ke atas perkara tersebut.

“Kita perlu menjaga perasaan ahli keluarga dan juga orang yang sudah meninggal dunia. Seelok­nya sebagai orang Islam, kita seharusnya mendoakan agar si mati ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pada masa sama, Mohamad Shukri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang perkara yang bercanggah dengan agama serta mendatangkan khurafat di kubur berkenaan seperti aktiviti pemujaan.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pihak berkuasa dan semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang kenyataan.

“Tidak perlulah kita persoalkan keburukan atau kejahatan orang yang sudah meninggal dunia,” tegasnya.

Sementara itu, pihak Masjid Al-Irfan di Derga, Alor Setar telah diarahkan untuk menutup pintu pagar masjid tersebut bagi mengelak sebuah kubur di tanah perkuburan itu terus dikunjungi.

Setiausaha Masjid Al-Irfan, Yahya Saad berkata, pihaknya mendapat arahan daripada polis supaya kawasan masjid itu ditutup sejak kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pihak­nya masih menunggu keputusan sampel dari tanah kubur itu daripada Jabatan Kimia Malaysia negeri.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , ,

Category: PELIK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *