SHAH ALAM – Bermula 9 April ini, semakan status permohonan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 secara ‘one-off’ boleh dilakukan.
KWSP dalam satu hantaran berkata, permohonan pengeluaran khas KWSP itu hanya boleh dibuat melalui portal https://pengeluarankhas.kwsp.gov.my/ sahaja.
Pada masa sama, KWSP turut memaklumkan pemohon tidak perlu mengakses i-Akaun, mengunjungi kios dan cawangan KWSP bagi tujuan tersebut.
Permohonan pengeluaran khas KWSP mula dibuka pada 1 April lalu sehingga 30 April ini.
Pada 16 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000.
Pengeluaran ini dibuat bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.
Dalam sidang akhbar khasnya, Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat.
Katanya lagi, masih ada rakyat yang terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
KWSP memaklumkan, bayaran bagi pengeluaran khas akan dibuat pada 20 April ini secara sekali pembayaran (single payment) kepada pencarum yang layak.
Sumber: Sinar Harian