Murid Cedera Dirotan Kerana Gagal Siapkan Kerja Sekolah. | SEGAMAT – Seorang murid Tahun 5 mengalami kecederaan di badan serta beberapa bahagian muka disyaki akibat dirotan guru dalam kejadian di sebuah sekolah rendah di daerah ini di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, hasil siasatan awal yang telah dijalankan didapati mangsa telah dirotan oleh guru sekolah disebabkan mangsa gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa semasa sesi pembelajaran di sekolah.
KOMEN DI FB POLIS DAERAH SEGAMAT
“Pada 18 Julai kira-kira pukul 11 malam, pihak polis mengesan satu komen yang dimuat naik oleh satu individu di laman Facebook ‘Polis Daerah Segamat’ berkaitan kejadian. Komen tersebut menyebut seorang pelajar sebuah sekolah tamil di kawasan Jementah, Segamat mengalami kecederaan akibat dipukul oleh seorang guru di sekolah tersebut.
“Respon kepada komen tersebut, pihak polis Segamat telah meminta mangsa hadir ke balai polis berhampiran membuat laporan berkenaan kejadian. Ekoran daripada itu, pada 19 Julai lebih kurang pukul 12.10 tengah malam hari ini satu laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa.
“Di dalam laporan tersebut menyatakan anaknya pelajar lelaki tahun 5 sekolah tersebut mengalami cedera luka di bahagian leher kiri, bahu kiri dan calar di pipi muka akibat dirotan oleh guru besar,”katanya ketika ditemui di IPD Segamat hari ini.
GURU PEREMPUAN DIAMBIL KETERANGAN
Ujarnya, guru perempuan terbabit berumur lingkungan 50-an telah diambil keterangan oleh pihak polis dan siasatan masih dijalankan.
Tambah Ahmad Zamry, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA
Tular Murid Autisme Didera Guru. Ini Cerita SEBENAR. | SEBERANG PERAI – Polis mengesahkan tindakan seorang guru pendidikan khas memegang telinga seorang kanak-kanak perempuan autisme sehingga lebam dipercayai bertujuan menenangkan mangsa daripada terus bertindak agresif.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung kejadian itu di Balai Polis Seberang Jaya pada 19 Julai lalu.
Menurutnya, kejadian tersebut juga tular selepas gambar kanak-kanak perempuan yang didakwa akibat didera guru sebuah sekolah pendidikan khas dimuat naik dalam satu laman Facebook milik Mona Din baru-baru ini.
“Hasil siasatan polis, mangsa merupakan kanak-kanak autisme dan telah mengikuti kelas pendidikan khas di salah sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya.
“Kejadian disyaki berlaku pada 19 Julai, lebih kurang 9.30 pagi di mana semasa kejadian mangsa dikatakan bertindak agresif di dalam kelas hingga menyebabkan beberapa pelajar lain takut dan menangis.
“Akibat tindakan tersebut, suspek seorang guru perempuan berusia 30-an telah datang dan memegang kedua-dua telinga mangsa untuk mengenangkan mangsa.
“Akibat daripada perbuatan suspek, mangsa telah mendapat kesan lebam pada kedua-dua belah telinga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Susulan kejadian ini, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” jelas beliau yang memaklumkan bahawa siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan ketika ini.
Justeru, Cheng San turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan berita yang tidak sahih seperti itu kerana boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat setempat.
Pada Isnin lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang juga autisme mengalami kecederaan di telinga, didakwa didera oleh guru dalam kejadian di sebuah sekolah dipercayai di Pulau Pinang.
Maklumat berkenaan kes tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, Mona Din malah hantaran wanita itu turut dikongsikan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik.
Sumber : Kosmo