Keputusan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor didapati bersalah atau dibebaskan daripada pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion, akan diketahui 7 Julai depan.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Rosmah membela diri atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.
Rosmah, 71, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Beliau didakwa menerima rasuah itu melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion.
Dalam kes ini, Rosmah diwakili barisan peguam antaranya, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader.
Sementara Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan.
Sumber: Sinar Harian