NGERI. Penjaga Zoo Maut Dibaham Harimau.

| June 19, 2021 | 0 Comments

NGERI. Penjaga Zoo Maut Dibaham Harimau. | CAPE TOWN, Afrika Selatan – Seorang penjaga zoo maut dibaham seekor harimau Siberia selepas pagar elektrik di taman haiwan Seaview Predator Park di bandar Port Elizabeth dimatikan, lapor akhbar The Sun semalam.

David Solomon, 52, digigit beberapa kali, manakala lehernya patah selepas diserang harimau itu.

Jasper yang merupakan seekor harimau Siberia yang ganas memanjat pagar elektrik setinggi 3.6 meter itu ketika arus elektrik dimatikan lalu menyerang Solomon.

Solomon yang sedar haiwan pemangsa seberat 306 kilogram itu sedang mengejarnya, cuba untuk memanjat sebuah pagar lain namun tidak berjaya selepas tubuhnya diseret ke bawah.

Selepas membaham penjaganya itu, Jasper melompat ke arah pagar lain dan membunuh seekor harimau jantan bernama Judah.

“Jasper merupakan harimau besar dan anda perlu berhati-hati dengannya. Namun, Solomon telah menjaga ia semenjak kecil dan amat sayangkan Jasper,” kata seorang bekas pekerja zoo itu.

Seorang jurucakap Seaview Predator Park berkata, semua staf di situ sedih dan juga trauma ekoran insiden tersebut.

“Kami merupakan sebuah keluarga besar dan pemergian Solomon menyebabkan kami bersedih hati dan trauma terutamanya pekerja dan sukarelawan yang ada di situ semasa kejadian,” katanya.

Pekerja zoo menambah, kejadian itu dipercayai berlaku akibat ‘dorongan hormon’ dan haiwan tersebut kini sedang berada dalam keadaan tenang.

Setakat ini, tiada perancangan untuk ‘menghapuskan’ Jasper dan pasukan polis Afrika Selatan sedang menyiasat kejadian itu. -Agensi

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *