Wanita Cubat Bunuh Diri Kerana Diberhentikan Kerja. | SUNGAI BULOH – Seorang wanita yang mengalami tekanan emosi akibat diberhentikan kerja cuba membunuh diri dari tingkat 32 sebuah kondominium di Damansara Sentral dekat sini semalam.

Difahamkan, mangsa yang mempunyai masalah kewangan tersebut turut dihalau keluar oleh pemilik rumah selepas gagal membayar sewa biliknya.

Namun, tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor tiba di lokasi kejadian berjaya memujuk mangsa yang memakan masa hampir empat jam dan menyelamatkan mangsa dari cubaan membunuh diri.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 7.52 petang semalam.

“Seramai 19 pegawai dan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh telah ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota mendapati seorang wanita warga tempatan sedang berdiri di bahagian luar bangunan di tingkat 32 kondominium terbabit,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, anggota bertugas telah membuat persiapan dengan tali keselamatan dalam operasi terbabit dan memujuk mangsa dari cubaan membunuh diri.

“Kita telah memujuk mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu hampir empat jam dan berjaya menyelamatkan mangsa ke tempat yang lebih selamat.

“Mangsa difahamkan mempunyai masalah kewangan dan tekanan emosi selepas diberhentikan kerja. Mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 11 malam,” jelasnya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply