Padah Lakukan Aksi Berbahaya, Mat Rempit Ditahan Dan Dikenakan Kompaun  RM5,000 | Seperti yang kita tahu, negara pada ketika ini sedang bertarung dengan wabak penularan Covid-19 yang semakin meningkat dari hari ke hari. Ekoran itu, kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung sekaligus melindungi rakyat daripada penularan penyakit berkenaan.

Namun, masih ada lagi segelintir rakyat yang masih berdegil dan tetap ingin keluar rumah dengan menggunakan alasan yang tidak masuk akal.

Padah Lakukan Aksi Berbahaya, Mat Rempit Ditahan Dan Dikenakan Kompaun RM5,000

Kajang: Sepuluh mat rempit ditahan dan dikenakan kompaun dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Grand Saga, dekat sini, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, seramai dua pegawai serta 18 anggota Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman terbabit dalam operasi itu yang bermula jam 4 petang semalam hingga 8.30 pagi tadi.

“Dalam operasi itu, kami telah menahan 10 lelaki berusia 17 hingga 20 tahun yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya seperti zig-zag, menundukkan badan dan bersaing sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas lanjut, semua suspek telah ditahan dalam empat siri tangkapan di lokasi sekitar lebuh raya itu lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut menyita motosikal jenis Yamaha 15ZR dan Yamaha 135LC yang ditunggang suspek.

“Selain itu, semua suspek berkenaan turut dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul, berlumba dan melakukan aktiviti tanpa sebab munasabah.

“Tindakan kompaun itu diambil mengikut Perkara 4 dan 5 Peraturan Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan) (No 4) (Pindaan) (No 15) 2021,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply