Wajah sugul pengendali Malaysia, Kim Pan-gon ketika hadir ke sidang media pasca perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 tidak menggambarkan perasaan sebenarnya.
Ini kerana jurulatih dari Korea Selatan itu tetap berbangga dengan persembahan pemainnya namun ucapan maaf tetap dititipkan kepada penyokong negara susulan kegagalan mereka mara ke final.
Tegasnya, apa sahaja yang berlaku pada malam ini seharusnya ditanggung olehnya dan bukan salah pemain di atas padang.
“Saya sangat menghargai pemain yang sanggup mengorbankan cuti dan masa bersama keluarga demi skuad kebangsaan. Tiada kesalan dan apa apa rungutan daripada saya untuk Harimau Malaya. Kami akan belajar sesuatu daripada kempen Piala AFF kali ini.
“Mereka mengikut arahan dan mereka berjuang sehingga penghujung. Jika ada masalah, itu adalah kerana saya yang merancang taktikal, strategi dan barisan pemain.
“Anda boleh menyerang saya (dari segi perancangan) tetapi jangan serang pemain,” kata Pan Gon.
Terdahulu, impian Malaysia untuk mara ke final berkecai selepas ditundukkan Thailand 3-0 pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Thammasat, sebentar tadi.
Berkelebihan satu gol daripada aksi pertama, anak buah Pan Gon tidak mempunyai jawapan untuk mengekang asakan Thailand yang mengesahkan tiket ke final Piala AFF 2022 dengan agregat 3-1.
Juara bertahan itu bakal berdepan Vietnam bagi perebutan gelaran ‘Raja Asean’.
Sumber: HM
Berita Berkaitan..
Pan-Gon Tabik Prestij Piala AFF
Di sebalik status Piala AFF 2022 yang sekadar bertaraf Asia Tenggara namun saingan yang terkenal dengan julukan sebagai ‘Piala Dunia ASEAN’ itu bukan ‘biasa biasa’ di mata pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Jurulatih dari Korea Selatan itu mengakui Piala AFF tetapi memiliki nilainya yang tersendiri sekali gus dia turut ‘mengidam’ untuk membawa skuad kebangsaan bergelar ‘Raja ASEAN’.
“Secara peribadinya, Piala AFF sangat berprestij dan ketika saya di Hong Kong dan Korea Selatan, saya berminat untuk menyaksikan perlawanan ini.
“Ketika saya dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan, menjadi juara Piala AFF adalah antara salah satu sasaran penting yang diletakkan.
“Kejayaan membawa pasukan ke final akan menjadi satu penghormatan besar bagi membanggakan penyokong Malaysia,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Thammasat, petang tadi.
Dalam perkembangan sama, Pan Gon turu mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu selesa dengan bekalan satu gol yang dibawa ke Thailand bagi aksi malam ini.
“Aksi di tempat lawan sentiasa memberkan cabaran yang sukar tetapi kami sudah bersedia sepenuhnya secara fizikal dan mental.
“Kami berkeyakinan tinggi untuk menghadapi Thailand esok dan kami mahu memberikan keputusan yang baik kepada penyokong,” katanya.
Sumber: HM