“Betul abang akan nikah. Apabila sudah ada tarikh saya akan beritahu,” kata pelakon terkenal Azri Iskandar.
Sekali gus turut mengesahkan dia bakal berkahwin dengan wanita pilihannya yang juga penulis skrip, Dr Azra Diera, 43.
Ketika dihubungi, Azri, 54, berkata, dia bakal menghantar rombongan merisik pada 23 Jun ini.
Menurutnya, tarikh nikah belum ditetapkan buat masa sekarang dan dalam masa dua minggu ini dia akan pergi ke Perlis berjumpa keluarga perempuan untuk merisik.
“Saya nak bincang dengan keluarga Azra untuk percepatkan perkahwinan, kalau boleh bulan ini,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai hubungan mereka, Azri berkata, dia mengenali wanita itu 12 hari selepas bercerai dengan Ellie Suriaty.
Namun, Azri menafikan Azra punca perceraiannya dengan Ellie.
Katanya, dia berjumpa Azra selepas 12 hari bercerai dengan Ellie dan mereka bekerjasama dalam satu projek drama RTM.
Dia juga pernah menghubungi Azra untuk bertanya lanjut mengenai skrip itu.
Bermula detik itu, dia tertarik melihatnya dan berterus terang malah, dia juga tidak menyangka bahawa Azra turut menyukainya.
Mereka merancang untuk berkahwin kerana masing-masing sudah berusia.
“Saya nak ‘move on’ dan tak nak buang masa sebab sudah jumpa orang sesuai namun, perkahwinan ini bukan punca saya bercerai dengan Ellie.
“Saya dah tua tak reti nak bercinta-cinta, kalau dah jumpa seseorang saya nak terus kahwin,” katanya.
17 Mei lalu, Azri dan Ellie sah bercerai talak satu selepas 19 tahun hidup bersama.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 17 dan Nur Azreen, 13 dan Ellie pernah mengalami dua keguguran.
Sebelumnya, Azri mempunyai tiga anak menerusi perkahwinan pertama iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistana, 29 dan Nur Anis Mastura, 27.
Sumber: Harian Metro