Pekerja Ladang Sawit Jumpa Sesuatu Dalam Tong Ketika Sedang Kerja. | Nibong Tebal: Mayat lelaki dipercayai warga asing dalam keadaan sudah mereput ditemukan dalam sebuah tong di ladang kelapa sawit dekat Tiga Kongsi Simpang Ampat, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu daripada tukang kebun berusia 46 tahun pada 10.40 pagi tadi.
“Tukang kebun itu memaklumkan kepada polis bahawa pekerjanya yang pergi membuat kerja pemotongan sawit pada 6 petang semalam terhidu bau busuk dalam sebuah tong berwarna biru.
“Pekerjanya kemudian menghubunginya pada 9.03 malam dan pagi tadi tukang kebun itu tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Chong Chern berkata, pemeriksaan di lokasi menemukan satu mayat yang berseluar pendek dan berpakaian T dalam keadaan sudah mengecut dan mengering dalam tong itu.
Katanya, pemeriksaan awal dijalankan ke atas mayat itu mendapati mangsa berusia lingkungan 40-an dipercayai sudah meninggal dunia sejak sebulan lalu.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mayat itu namun polis mengesyaki mangsa adalah warga asing.
“Pemeriksaan luaran pada mayat tidak menemukan sebarang kesan kecederaan,” katanya memberitahu, mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber : Metro