Ubah Suai Ekzos. Ini Hukuman Bagi Pesalah Yg Ditetapkan.

| February 21, 2021 | 0 Comments

Ubah Suai Ekzos. Ini Hukuman Bagi Pesalah Yg Ditetapkan. | Kuala Lumpur: Mana-mana kenderaan yang didapati bersalah mengubahsuai ekzos sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dipenjara sehingga enam bulan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, mereka juga boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, jika disabitkan.

“Mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan Dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) setiap ekzos (dengan penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan yang baik.

“Ia juga perlu dipastikan tidak diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising. Mana-mana individu yang membuat pengubahsuaian sedemikian adalah melakukan satu kesalahan mengikut kaedah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Azisman berkata, mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa untuk menyita motosikal tersebut dengan tujuan untuk mengelakkan daripada kesalahan berulang.

Katanya, polis boleh menahan motosikal tersebut sehingga pemiliknya mengambil langkah-langkah bagi menjamin kesalahan berkenaan tidak berlaku lagi.

“Penggunaan ekzos bising ini menjadi trend semasa golongan muda kerana dikatakan dapat meningkatkan kelajuan motosikal dan juga mencantikkan fizikal motosikal tersebut.

“Pihak JSPT sentiasa mengadakan Operasi Bersepadu dengan jabatan dan agensi yang lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan semua pemilik kenderaan bukan sahaja pemilik motosikal tetapi juga pemilik kenderaan bermotor yang lain agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang membabitkan pengubahsuaian.

“Sebarang pengubahsuaian yang ingin dilakukan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Sumber : Metro

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *