Pekerja Lapangan Terbang Maut Disedut Enjin Pesawat | TEXAS (Amerika Syarikat) – Seorang pekerja syarikat penerbangan maut selepas ‘disedut’ enjin pesawat dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa San Antonio di Texas.
Kejadian berlaku ketika sebuah pesawat dari Los Angeles baru sahaja mendarat pada kira-kira 10.30 malam hari Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
Menurut NTSB, pesawat itu milik Delta Air Lines dan pihaknya sedang berhubung dengan syarikat penerbangan berkenaan untuk menjalankan siasatan mengenai insiden itu.
Pekerja mempunyai kontrak dengan Delta
Pekerja itu merupakan kakitangan Unifi yang mempunyai kontrak dengan Delta.
“Kami sedih dan berduka cita dengan kehilangan nyawa ahli keluarga petugas di San Antonio. Simpati dan doa kami buat keluarga, saudara dan rakan mangsa pada masa sukar ini,” memetik e-mel Delta.
Sementara itu, Unifi Aviation dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa insiden itu tidak berkaitan dengan proses operasi, prosedur keselamatan dan polisi Unifi.
Pihak lapangan terbang bekerjasama
“Doa kami buat waris mangsa dan kami akan terus memberikan sokongan kepada pekerja kami di lapangan dan memastikan mereka dalam keadaan yang baik pada masa ini,” menurut syarikat itu.
Pihak lapangan terbang akan memberikan apa jua maklumat yang diperlukan sebaik memperoleh maklumat lanjut berhubung insiden itu.
“Kami amat sedih dengan kejadian itu dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan,” menurut e-mel lapangan terbang.
Sumber: Sinar Harian
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Pesawat Alami Detik Ngeri Angkara Burung Terlanggar Enjin Pesawat | PENUMPANG syarikat penerbangan Southwest Airlines dari Cuba ke Fort Lauderdale, Florida, Amerika Syarikat berhadapan detik ngeri apabila pesawat berkenaan terpaksa melakukan pendaratan cemas berikutan kerosakan akibat pelanggaran dengan burung pada Isnin.
Lebih mencuri tumpuan, kepulan asap mula memenuhi kabin pesawat berkenaan susulan burung itu telah melanggar salah satu enjin dan hidung pesawat tersebut.
Pesawat Boeing 737 itu dinaiki 147 penumpang dan enam anak kapal dengan juruterbang difahamkan gagal melakukan pendaratan ke Havana, Cuba dengan baik.
Ketika kejadian, kesemua penumpang yang menjerit-jerit dan kanak-kanan mula menangis, manakala sebahagian lagi dilihat cuba mendapatkan topeng oksigen tatkala asap tebal mula menyelubungi mereka.
Namun, pesawat berkenaan berjaya mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Marti, Cuba dan penumpang menggunakan gelongsor kecemasan untuk turun dengan beberapa kakitangan pasukan kecemasan menanti di kawasan selamat.
Beberapa penumpang dalam insiden itu berkata, topeng oksigen mereka tidak dapat digunakan ketika asap semakin tebal selain turut terdengar bunyi letupan ketika kejadian.
“Orang ramai terpaksa menumbuk bahagian bumbung pesawat untuk mengeluarkan topeng hinggakan ada yang mengalami luka berdarah akibat menumbuk terlalu kuat,” kata Rodriguez.
Seorang lagi penumpang, Jorge Montesino berkata, dia turut menyaksikan enjin pesawat itu terbakar dan telah menghantar pesanan terakhir kepada isteri dan anaknya menerusi telefon.
Sebaik pesawat berjaya mendarat, rata-rata penumpang yang masih dalam ketakutan bertepuk tangan dan bersorak kepada juruterbang sebagai tanda terima kasih.
“Kapten wanita itu sangat luar biasa, dengan hanya satu enjin di bahagian kiri dia mampu memusingkan haluan pesawat dan melakukan pendaratan dengan selamat,” ujar Montesino.
Pihak syarikat penerbangan Southwest menerusi kenyataannya berkata, pujian diberikan atas tindakan pantas juruterbang dan kesemua pramugari yang memberikan komitmen tinggi dalam insiden berkenaan.
“Kami memohon maaf kepada kesemua penumpang atas kesulitan yang berlaku dan pihak kami telah menghubungi mereka untuk memberikan bantuan dan sokongan yang diperlukan,” katanya.
Tambahnya lagi, Southwest Airlines akan melakukan pemeriksaan terhadap pesawat itu untuk menilai tahap kerosakan dialami namun tiada butiran tambahan yang boleh dikongsikan setakat ini.
Sumber: Majoriti