Pekerja Restoran Dikurung, Majikan Bayar Gaji RM10 Sehari | Pada zaman yang serba canggih ini, sukar untuk kita mencari pekerjaan yang menepati kriteria yang kita mahukan lebih-lebih lagi akibat pandemik Covid-19 yang melanda. Namun, terdapat sesetengah majikan yang mengambil kesempatan dengan mengurangkan bayaran gaji kepada sesetengah pekerja.

Pekerja Restoran Dikurung, Majikan Bayar Gaji RM10 Sehari

Klang: Bukan sahaja hanya dibayar gaji RM10 sehari, malah mangsa juga akan dikenakan hukuman sekiranya mereka mengambil makanan berlauk di restoran itu.

Itulah nasib yang menimpa 22 pekerja restoran di Taman Chi Liung yang berjaya dibongkar oleh sepasukan polis dari Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan Ops Pintas Bersepadu mendapati hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pada Khamis itu telah bertindak dengan menyerbu sebuah restoran dan dua asrama pekerja.

Menurutnya, tiga lelaki warga tempatan yang berusia kira-kira 29 tahun hingga 60 tahun iaitu majikan serta penjaga premis telah ditahan menerusi operasi tersebut kira-kira pada jam 12.45 tengah malam.

Katanya, tangkapan tersebut dibuat adalah untuk siasatan eksploitasi buruh paksa serta gaji yang dibayar tidak seperti yang dijanjikan. Dalam pada itu, kesemua pekerja tersebut telah dikurung di asrama dan mereka telah menerima ugutan daripada pihak majikan dan penjaga.

Fadil berkata, pihaknya telah berjaya menyelamatkan 22 pekerja warga asing yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 44 tahun. Mereka semua terdiri daripada 11 wanita Indonesia dan 11 lelaki India.

Menurut beliau, pihaknya telah merampat 40 pasport, dua telefon bimbit, sebuah kereta jenis BMW serta wang tunai yang dipercayai hasil perniagaan dengan jumlah RM3,858.

Bukan itu sahaja, Fadil turut berkata, siasatan awal telah mendapati majikan mereka gagal untuk membayar gaji sebanyak RM1,500 sebulan seperti yang telah dijanjikan, sebaliknya pihak majikan hanya membayar RM10 sehari sahaja, selain mereka semua terpaksa dikurung selepas waktu bekerja.

“Waktu bekerja juga panjang iaitu 12 jam dan tiada hari cuti. Mangsa juga tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit walaupun selepas waktu kerja dan kebenaran harus diperolehi oleh majikan sekiranya ingin menggunakan telefon,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa dikatakan akan diugut pukul sekiranya mereka cuba melarikan diri selain makanan mereka yang dicatu iaitu sekiranya mereka mengambil makanan yang berlauk, gaji mereka akan ditolak.

Tambahnya, malah tempat tinggal mangsa yang disediakan juga tidak mengikut piawaian Akta 446.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply