Pelajar 13 Tahun Tuang Sabun Di Mata Rakan Ketika Sedang Tidur | GERIK – Polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun bagi membantu siasatan kes mencurahkan sabun di mata rakan setingkatan dalam kejadian di sebuah sekolah menengah berasrama di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kejadian itu diterima setelah laporan polis dibuat bapa mangsa pada pukul 12.22 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku pada 19 Mei lalu ketika mangsa berusia 13 tahun sedang tidur di dalam bilik asrama sekolah berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa sedang tidur sebelum dia menyedari kedua-dua belah matanya telah dicurahkan dengan cecair dipercayai sabun.

“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan pemeriksaan pakar mengesahkan pelajar terbabit mengalami kecederaan ‘Bilateral Eye Chemical Injury Grade 1’,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, tangkapan telah dibuat ke atas suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Kita juga akan memanggil beberapa saksi termasuk guru dan pelajar lain bagi membantu siasatan kes ini.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan sebaik siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Guru Tadika Letak Sabun, Ubat Nyamuk Dalam Makanan Pelajar

Seorang bekas guru tadika di Korea Selatan dihukum penjara empat tahun gara-gara meletakkan sabun dan ubat nyamuk ke dalam makanan murid-muridnya, lapor Korean Times.

Mahkamah Daerah Selatan Seoul pada Khamis lalu mensabitkan kesalahan wanita berusia 50 tahun itu atas tuduhan cubaan mencederakan kanak-kanak tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan 10 tahun sekatan pekerjaan terhadapnya di institusi kanak-kanak berkaitan.

“Dia melakukan jenayah terhadap kanak-kanak sedangkan dia bertanggungjawab untuk melindungi mereka.

“Dia juga terus membuat alasan yang tidak dapat difahami,” kata mahkamah dalam keputusannya.

Letak sabun dalam makanan: guru tadika dakwa ia hanya air

Mahkamah berkata hakikat bahawa kanak-kanak itu tidak dicederakan juga telah dipertimbangkan apabila memutuskan hukumannya.

Menurut penyiasat, tertuduh meletakkan bahan pencuci dan ubat nyamuk ke dalam makanan yang disediakan untuk kanak-kanak di sebuah tadika di Seoul pada November 2020.

Semasa siasatan polis dijalankan, tertuduh mendakwa cecair yang dimasukkan ke dalam makanan itu hanyalah air.

Tetapi susulan analisis yang dibuat oleh Perkhidmatan Forensik Kebangsaan menunjukkan bahawa makanan itu mengandungi bahan pencuci dan penghalau nyamuk.

Dalam perbicaraan pertamanya, tertuduh menolak tuduhan terhadapnya.

“Sebagai seorang guru dan ibu, saya tidak pernah melakukan perkara yang boleh menyakiti seseorang,” ujarnya.

Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara 10 tahun dan mengatakan tertuduh merasakan apa yang dibuat adalah tidak salah.

Oleh itu, ramai pihak menuntut supaya tertuduh terbabit dijatuhi hukuman yang berat.

Sumber: Siakap Keli

Share.

Leave A Reply