Pelajar Kolej Rugi RM4,645 Ditipu Dalam Pembelian Dua Buah Iphone | Kelicikan penipuan kewangan atau scammer dalam talian semakin menjadi-jadi di negara ini. Walaupun banyak tangkapan dibuat, kes penipuan begini masih lagi berlaku dengan yang ditanggung mangsa ada kalanya mencecah jumlah simpanan sepanjang hayat mereka untuk persaraan.
Minta wang selagi boleh. Itu antara modus operandi sindiket penipuan yang menjerat mangsa melalui penjualan barang di internet sehingga mangsa mengalami kerugian ribuan ringgit. Selepas mangsa membuat pembayaran untuk sesuatu barang yang dibeli, suspek akan meminta mangsa membuat pembayaran lain atas pelbagai alasan dan proses itu akan berulang beberapa kali sehingga mangsa sedar sudah ditipu.
Kuantan: Dalam kes terbaharu, seorang penuntut kolej di daerah ini berusia berusia 20 tahun kerugian RM4,645 selepas ditipu dalam pembelian dua buah telefon jenis iPhone pada 21 Jun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berminat membeli dua buah telefon jenis iPhone 7 Plus dan iPhone 11 Pro yang dilihat dalam iklan di laman sosial Instagram.
Beliau berkata, mangsa telah menghubungi suspek dan membuat pembayaran sebanyak RM1,398 untuk dua buah telefon berkenaan melalui pemindahan wang secara dalam talian kira-kira pada pukul 10.29 pagi.
“Pada hari sama, pukul 11.27 pagi, mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada suspek meminta untuk membuat pembayaran kali kedua sebagai bayaran jaminan kastam sebanyak RM1,100,”katanya.
Beliau memberitahu, pada pukul 12.39 tengah hari sekali lagi mangsa diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM900 dan mangsa membuat pembayaran kira-kira sejam kemudian.
Tambahnya, pada pukul 3.41 petang, mangsa sekali lagi menerima pesanan WhatsApp daripada suspek memintanya membuat bayaran sebanyak RM1,247 sebagai yuran mengaktifkan ‘Smart Card Member’ dan bayaran dibuat tiga jam kemudian.
Ujarnya, mangsa akhirnya menyedari ditipu dan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo