Pelajar Malaysia Meninggal Dunia Di UK Selamat Dikebumikan | Jenazah seorang pelajar Malaysia yang menuntut di United Kingdom telah selamat dikebumikan. Jenazah Muhammad Hafidz Abdullah,36 telah disahkan meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan di unit rawatan kritikal di sebuah hospital di United Kingdom (UK). Jenazah allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Senawang di sini, kira-kira jam 9.30 malam semalam.
Jenazah yang telah tiba dari UK semalam telah dibawa terus ke Masjid Negeri pada jam 7 malam untuk disembahyangkan sebelum tiba di tanah perkuburan kira-kira pada jam 8.40 malam. Beliau dikebumikan di kampung halaman isterinya Nazihahwati Mohiddin, 36 tahun.
Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan itu dengan dihadiri oleh lebih 50 orang ahli keluarga.
Muhammad Hafidz yang berada di tahun kedua pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Sheffield itu telah disahkan meninggal dunia pada jam 11.35 pagi, 8 April yang lalu. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir apabila isterinya membuat keputusan untuk membenarkan pihak hospital Northern General Hospital di Sheffield mematikan alat bantuan pernafasan. Keputusannyang dibuat adalah atas nasihat pasukan perubatan.
Beliau merupakan kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, namun telah menerima tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyambung pelajaran dalam peringkat PhD. Beliau telah dilaporkan pengsan secara tiba-tiba ketika bermain bola di Pusat Sukan Goodwin di Sheffield. Kejadian itu telah berlaku pada 4 April lalu dan beliau terpaksa menggunakan bantuan alat pernafasan sepanjang tempoh menerima rawatan.
Menurut bapa Allahyarham, Abdullah Kasim, 65, beliau mengakui amat terkejut dan merasa sedih dengan pemergian anaknya itu. Pemergian Muhammad Hafidz boleh diumpamakan sebagai satu kehilangan yang besar buat keluarganya. Beliau yang telah tiba daripada Shah Alam amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah membantu menguruskan urusan membawa pulang jenazah ke tanah air.
Mereka sekeluarga bercadang untuk menziarahi Allahyarham di sana sebaik sahaja mengetahui bahawa keadaan kesihatannya semakin merosot. Namun niat itu terpaksa ditangguhkan kerana kekangan susulan penularan pandemik Covid-19. Mereka menunggu keadaannya makin pulih namun dia telah pergi meninggalkan mereka terlebih dahulu, namun mereka sekeluarga redha dengan pemergiannya.
Kali terakhir mereka bersua muka adalah pada September 2019 iaitu sebelum Muhammad Hafidz pergi ke UK. Namun setiap hari dia akan menghubungi keluarganya untuk bertanyakan khabar. Kali terakhir mereka berkomunikasi adalah pada sehari sebelum arwah pengsan.
Sumber: Berita Harian