Seorang pelajar lelaki dilaporkan mengasari pihak polis selepas dia ditahan atas kesalahan tidak memakai topi keledar dan gagal memaparkan sijil pendaftaran kenderaan yang sah di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.
Ketika kejadian, remaja berkenaan dilihat gagal mengawal kemarahan apabila mengamuk dan cuba memukul polis tersebut.
Selain bertindak kasar, pelajar itu juga difahamkan telah melontarkan kata-kata kesat serta kecaman negatif yang nyata mengundang kemarahan warganet yang melihat rakaman tersebut.
Dikongsikan di laman Instagram, insiden itu hangat diperkatakan di laman media dan menerima lebih 12,000 jumlah tontonan setakat ini.
Selain itu, sifat tenang yang ditunjukkan polis tersebut turut mengundang perhatian ramai susulan kemampuan beliau dalam mengawal situasi getir itu.
Tidak menggunakan sebarang kekerasan ataupun sentuhan fizikal tehadap pelajar berkenaan, polis tersebut kekal menasihati dan menenangkan pelajar itu ketika kejadian.
Rata-rata warganet turut meninggalkan komen berhubung kejadian tersebut.
“Budak zaman dahulu kalau dicubit, dipukul sekali pun masih boleh dengar nasihat tetapi budak zaman sekarang pantang ditegur mesti akan memberontak dan berlagak kuat dengan orang dewasa,” kata @maryadi.zona.
“Pelajar sekarang perlu dijatuhi hukuman dan undang-undang yang ketat, biar mereka diberi pengajaran awal sebelum meningkat dewasa, nanti lebih berbahaya dan sukar dibentuk,” jelas @fadjarmatluwi.
“Tinggi betul tahap kesabaran polis itu, saya yang melihatnya sahaja sudah marah, rasa macam mahu pukul sahaja pelajar itu,” tambah @enzodevian.
“Dia beruntung kerana polis itu seorang yang sangat penyabar, kalau pegawai lain pasti sudah dicekup bawa ke balai,” ujar @muilham.
Namun, pelajar tersebut difahamkan tidak menerima sebarang tindakan dan polis telah menasihatinya agar memakai topi keledar bagi melindungi keselamatan diri di jalan raya.
Sumber: Majoriti
Baca Juga: Viral Suami Belasah Isteri Dipenjara Tiga Bulan Denda RM2000
“Seorang isteri adalah pendamping bukannya ‘punching bag’. Harap hukuman dapat memberi pengajaran kepada kamu, jangan buat lagi pada anak, isteri dan pada sesiapa sekali pun”.
Itu nasihat yang diberikan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz selepas menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 terhadap seorang suami yang tular memukul isterinya di sebuah rumah minggu lalu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 November lalu. Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut dia boleh dipenjara selama sebulan.
Terdahulu tertuduh Reduan Mahamood, 58, yang merupakan ahli perniagaan itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.
Mengikut pertuduhan, Reduan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adrina Mohd. Ariff, 45, dengan cara memukul dan menendang mangsa menggunakan tangan dan kaki.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras di sini pukul 5.13 petang pada 14 November lalu (2022) yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam Mohd. Shafiq Ahmed Bazari yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan pengakuan salah telah menjimatkan masa mahkamah.
“Tertuduh yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi merupakan penanggung utama keluarga selain telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan,” kata peguam itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran agar tertuduh lebih bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.
Sumber: KMN