Peluang Pekerjaan Di Malaysia Semakin Bertambah Pasaran pekerjaan di Malaysia pulih pada suku pertama tahun ini dengan bilangan jawatan bertambah 148,520 kepada 8.57 juta berbanding suku sama tahun sebelumnya. Baca seterusnya.
PUTRAJAYA: Pasaran pekerjaan di Malaysia pulih pada suku pertama tahun ini dengan bilangan jawatan bertambah 148,520 kepada 8.57 juta berbanding suku sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi perbandingan suku ke suku, tenaga kerja Malaysia meningkat 41,400 jawatan pada tiga bulan pertama tahun ini, berbanding suku sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penambahan jawatan itu disokong perniagaan yang terus beroperasi ketika fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), selari dengan pengembangan aktiviti global dan domestik, yang didorong oleh liputan vaksinasi yang lebih meluas dan peningkatan dalam perdagangan barangan.
“Bilangan jawatan diisi pada suku tahun dikaji juga merekodkan peningkatan sebanyak 142,060 kepada 8.39 juta jawatan berbanding sebanyak 8.25 juta jawatan pada suku pertama 2021.
“Bagi kadar pengisian jawatan dan kekosongan jawatan, kedua-duanya kekal masing-masing pada 97.8 peratus dan 2.2 peratus,” katanya dalam laporan Statistik Guna Tenaga Suku Pertama 2022 yang diterbitkan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, berdasarkan analisis tahun ke tahun mengikut aktiviti ekonomi, sektor pembuatan dan perkhidmatan terus merekodkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 3.6 peratus dan 1.9 peratus atau bersamaan dengan 2.24 juta dan 4.42 juta jawatan.
“Sebaliknya, sektor pertanian, perlombongan & pengkuarian dan pembinaan yang merangkumi 20.6 peratus daripada jumlah jawatan diisi kekal dalam aliran menurun.
“Dari segi kategori kemahiran, jawatan diisi sebahagian besarnya dalam kategori separuh mahir yang merekodkan 5.24 juta jawatan atau bersamaan dengan 62.5 peratus diikuti oleh kategori mahir dengan 2.07 juta (24.7 peratus) dan berkemahiran rendah sebanyak 1.07 juta jawatan (12.8 peratus),” katanya.
Bagi tempoh suku pertama 2022, beliau berkata, kekosongan jawatan secara konsisten mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun untuk dua suku tahun berturut-turut dengan merekodkan peningkatan sebanyak 6,460 kekosongan jawatan kepada 184,320 kekosongan jawatan.
“Lebih separuh daripada kekosongan jawatan ini adalah dalam kategori separuh mahir yang merangkumi 55.4 peratus atau bersamaan dengan 102,180, diikuti oleh kategori mahir sebanyak 24.3 peratus (44,870) dan kategori berkemahiran rendah yang meliputi 20.3 peratus (37,260).
“Mengikut aktiviti ekonomi, lebih separuh daripada kekosongan jawatan adalah di sektor pembuatan, dengan sebahagian besarnya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (17.5 peratus) dan diikuti oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik (11.2 peratus),” katanya.
Mohd Uzir berkata, selaras dengan pemulihan permintaan buruh secara beransur-ansur berikutan pembukaan semula kebanyakan aktiviti ekonomi dan sosial, bilangan pewujudan jawatan meningkat kepada 25,840 jawatan (menambah 4,950 jawatan) pada suku tahun ini.
“Sebagai rekod, ini adalah bilangan tertinggi yang dicatatkan semasa tempoh pandemik dan pada masa yang sama melepasi paras sebelum pandemik yang mencatatkan secara purata 25,000 pewujudan jawatan.
“Majoriti jawatan yang diwujudkan adalah dalam kategori separuh mahir yang merangkumi 58.9 peratus atau 15,230 jawatan manakala kategori mahir sebanyak 31.1 peratus (8,040 jawatan),” katanya.
Beliau berkata, sektor perkhidmatan merekodkan komposisi pewujudan jawatan terbesar iaitu sebanyak 47.6 peratus atau 12,290 jawatan, terutama dalam subsektor perdagangan borong dan runcit.
“Sektor pembuatan menduduki tempat kedua merangkumi 33.3 peratus atau 8,600 jawatan diikuti oleh pembinaan (12.9 peratus), pertanian (5.8 peratus) serta perlombongan & pengkuarian (0.4 peratus),” katanya.
Mohd Uzir berkata, prestasi keseluruhan permintaan buruh menunjukkan bahawa ia sedang menuju kepada pemulihan yang lebih baik dan mampan dalam tempoh terdekat.
“Sementara itu, berikutan negara sedang beralih ke fasa endemik bermula pada awal April tahun ini, lebih banyak kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) diumumkan yang seterusnya akan mempercepatkan momentum pemulihan serta mempergiatkan semula ekonomi.
“Pada masa sama, pembukaan semula sempadan Malaysia yang berkuat kuasa pada 1 April lalu juga dijangka memulihkan pasaran buruh di Malaysia kepada keadaan normal walaupun dalam tempoh berlakunya peningkatan semula varian Omicron dan usaha mengekang penularan COVID-19 masih belum selesai,” katanya.
Sumber: BH