Sebuah kilang logam yang dipercayai menjadi punca berlakunya pencemaran buih putih di Sungai Skudai pada Sabtu lalu, dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) semalam.

Pencemaran Buih Putih Di Sungai Skudai. Ini Puncanya..

Sumber Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor memaklumkan, kilang berkenaan dikenakan tindakan selepas siasatan lanjut menemui efluen sama yang dilepaskan di Sungai Skudai di premis kilang logam itu.

Kata sumber berkenaan, susulan aduan diterima berhubung pencemaran buih itu, JAS Johor membuat siasatan terhadap beberapa kilang berhampiran Sungai Skudai sebelum menemui efluen yang disyaki di premis berkenaan.

Jelasnya, tindakan diambil mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan kilang itu terpaksa memberhentikan aktiviti pengilangan serta-merta, serta perlu mengambil langkah penambahbaikan dengan kadar segera selain siasatan lanjut diselesaikan.

Katanya lagi, kilang sama juga dikenakan lapan kompaun bernilai RM16,000 atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Sebelum ini, beberapa rakaman video Sungai Skudai yang dicemari dengan kepulan buih putih yang berlaku pada Sabtu lalu, tular melalui Facebook.

JAS Johor dilaporkan mengambil sampel air Sungai Skudai yang berbuih itu sejak Sabtu lalu, namun mendapati kualitinya berada pada tahap normal.

Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd Rashdan Topa, dilaporkan berkata, tahap alkali (ph) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.

JAS Johor yang melakukan tinjauan di Sungai Skudai dilaporkan tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku di sungai itu berpunca daripada industri di sekitar kawasan sekitar.

Semalam pula, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven dilaporkan berkata, pencemaran Sungai Skudai akibat kewujudan tompokan buih putih sejak Sabtu lalu tidak menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, di sini, yang membekalkan air kepada hampir 200,000 pengguna.

Beliau dilaporkan berkata, hasil pemantauan dan siasatan dilakukan JAS Johor mendapati tiada lagi buih putih dikesan di lokasi aduan di Sungai Skudai berhampiran jambatan Taman Impian Emas.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply