Pemimpin Pembangkang Turki Enggan Bayar Bil Elektrik. Ini Sebab Yang Ramai Tak Tahu | Pemimpin utama parti pembangkang Turki semalam menegaskan beliau tidak akan membayar bil elektriknya sehingga Presiden Recep Tayyip Erdogan menarik balik kenaikan harga baru-baru ini, berikutan tidak puas hati lonjakan inflasi yang berlaku di seluruh negara.
Bulan lalu, kadar inflasi melonjak kepada hampir 50 peratus selepas kejatuhan mata wang negara itu hujung tahun lalu yang dicetuskan oleh dasar kadar faedah rendah Erdogan yang tidak lazim berlaku, meningkatkan kos sara hidup bagi warga Turki yang sudah bergelut untuk menampung kehidupan.
Sebagai tindak balas, kerajaan menaikkan gaji minimum sebanyak 50 peratus, namun pada masa sama negara itu turut menaikkan harga gas, kuasa, petrol dan tol jalan bagi mengambil kira ketidaktentuan harga import.
Dalam video yang dikeluarkan di akaun Twitternya, Kilicdaroglu turut menggesa pengurangan cukai nilai tambah yang dikenakan ke atas bil tenaga kepada satu peratus daripada 18 peratus.
Harga elektrik dinaikkan sebanyak 125 peratus untuk pengguna komersial permintaan tinggi dan sekitar 50 peratus untuk isi rumah permintaan rendah pada awal Januari.
Pengumuman Kilicdaroglu dibuat selepas pekedai, majlis bandar dan kumpulan komuniti agama menyuarakan rungutan kenaikan bil tenaga pada minggu ini.
Beberapa pemilik restoran menyiarkan notis pada tingkap yang menonjolkan bil elektrik yang melambung, muat naik di media sosial, sementara kumpulan minoriti agama Alevi Turki memutuskan untuk tidak membayar bil elektrik untuk tempat ibadat mereka yang dikenali sebagai cemevis.
Rekod susut nilai mata wang dan harga yang melambung tinggi telah mencecah penilaian tinjauan pendapat Erdogan menjelang pilihan raya yang ditetapkan selewat-lewatnya pada Jun 2023.
Kerajaan berkata, kredit eksport dan pelaburan akan membantu negara mengharungi inflasi.
Jurucakap Presiden, Ibrahim Kalin minggu ini berkata, langkah baharu mengenai bil elektrik akan diumumkan ‘tidak lama lagi’.
Sumber: Reuters