Penemuan Jenazah Abdul Bari. Ini Komen Terkini Mufti KL Buat Ramai Terharu | Khalifah Media Networks – Insiden kenderaan pacuan empat roda terjunam ke muara sungai, Hero arwah Abdul Bari Asyraf Mohd, 31 yang lemas ketika menyelamatkan mangsa. Ini komen dari mufti KL yang buat ramai terharu..

Penemuan Jenazah Abdul Bari. Ini Komen Terkini Mufti KL Buat Ramai Terharu

1. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Abdul Bari Asyraf atas pemergiannya dalam insiden kenderaan pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu, malam kelmarin.

2. Sesungguhnya, pengorbanan almarhum untuk menyelamatkan mangsa-mangsa insiden berkenaan adalah amat mulia dan dengan izin-Nya, termasuk dalam kategori syahid, insyaAllah. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، وَالمَبْطُونُ، وَالغَرِقُ، وَصَاحِبُ الهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: Orang yang mati syahid ada 5 kategori: Mati kerana wabak taun, mati kerana sakit berkaitan perut, mati lemas, mati dihempap runtuhan, dan mati syahid ketika berperang di jalan Allah. [Riwayat al-Bukhari, no. 2829]

3. Almarhum adalah anak muda yang wajar dijadikan contoh dengan akhlaknya yang terpuji. Kami mencadangkan agar keluarga beliau, juga penyelamat-penyelamat lain diberi anugerah yang setimpal dengan keberanian dan akhlak mereka yang disanjung tinggi.

4. Alhamdulillah di sebalik musibah ini, Allah menyedarkan kepada kita bahawa Malaysia masih mempunyai ramai anak-anak muda yang berjiwa besar. Kita mendoakan semoga lebih ramai yang akan mencontohi almarhum.

5. Kami akhiri dengan lafaz ( إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada’.

اللَّهُـمَّ اغْفِـرْ لَهُ ، وَارْحَمْـهُ ، وَعَافِهِ ، وَاعْفُ عَنْـهُ ، وَأَكْـرِمْ نُزُلَـهُ ، وَوَسِّـعْ مُدْخَـلَهُ ، وَاغْسِلْـهُ بِالْمَـاءِ وَالثَّـلْجِ وَالْبَـرَدِ ، وَنَقِّـهِ مِنَ الْخَطَـايَا كَمَا نَـقَّيْتَ الـثَّوْبَ الأَبْيَـضَ مِنَ الدَّنَـسِ،وَأَبْـدِلْهُ دَارًا خَـيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلًا خَـيْرًا مِنْ أَهْلِـهِ ، وَزَوْجًا خَـيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِـلْهُ الْجَـنَّةَ ، وَأَعِـذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَـبْرِ وَعَذَابِ النَّـارِ

Jasa Abdul Bari akan dianugerah penghargaan

Kerajaan negeri akan menganugerahkan penghargaan untuk Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, sebagai mengenang jasa arwah yang terkorban ketika berusaha menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden kenderaan pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata penghargaan yang belum ditentukan bentuknya itu akan diberi sebagai penghargaan atas keberanian dan sifat terpuji Allahyarham.

“Sebagaimana kita tahu, Allahyarham melakukan sesuatu yang terpuji apabila mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan bukan hanya seorang tetapi lima mangsa dalam kejadian itu.

“Dalam keadaan arus sungai di situ agak deras, Allahyarham sanggup terjun. Malah, Allahyarham adalah yang pertama terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Difahamkan, Allahyarham sempat membantu menyelamatkan dua mangsa, namun akhirnya beliau terkorban.

“Ini satu sikap dan akhlak sangat terpuji. Saya sendiri akan mengusulkan dalam Mesyuarat EXCO, minggu ini, supaya anugerah khas diberikan untuk Allahyarham Abdul Bari atas kejayaan serta sifat terpuji beliau yang patut dicontohi seluruh belia dan rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menziarahi jenazah dan keluarga mangsa di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Mayat Abdul Bari berjaya ditemui kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta orang awam pada jam 7.23 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri juga mengucapkan tahniah kepada beberapa individu lain yang turut terjun ke sungai itu bagi membantu menyelamatkan mangsa.

“Insya-Allah, mereka juga akan diberikan penghargaan. Kerajaan negeri turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat, termasuk bomba, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan semua yang bertungkus lumus melakukan usaha mencari sehingga mangsa ditemui,” katanya.- BH Online

Share.

Leave A Reply