Majlis perkahwinan outdoor sering menjadi pilihan kebanyakan bakal pengantin kerana persekitarannya dapat menghidupkan suasana romantis.
Namun bagi pasangan pengantin ini, mereka tidak menyangka majlis pernikahan yang bertemakan dalam taman dilanda hujan lebat.
Video upacara akad nikah pasangan itu dilakukan ketika hujan menjadi tular di laman TikTok.
@sheikhhafiq Pape pun selamat pengantin baru sahabatku 🫶🏼
Berkongsi pengalaman, pengantin perempuan, Nor Syakirin Nor Affendee berkata, majlis pernikahan diadakan di Colony Star Boulevard KLCC di Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu.
Lebih mesra disapa Erin, dia memberitahu bahawa lokasi majlis nikah telah ditetapkan lebih awal sejurus majlis pertunangan yang berlangsung pada 1 Januari tahun ini.
“Saya memilih tema garden untuk majlis nikah kerana itulah impian perkahwinan saya selain lokasi mempunyai view KLCC. Semuanya diuruskan sendiei bersama wedding planner.
“Cuaca pada pagi sehingga tengah hari majlis nikah agak baik, tapi mula mendung di sebelah petang. Masa tu dah mula rasa bimbang. Kami pada awalnya rancang nak awalkan akad nikah ke pukul 3 petang kerana cuaca macam nak hujan,” katanya lagi.
Erin yang berusia 24 tahun itu berkata, akad nikah bagaimanapun diadakan pada kira-kira pukul 4.30 petang berikutan hujan yang tidak menentu.
“Sebenarnya ada back up plan, iaitu sama ada majlis diawalkan ke sebelah pagi atau dilakukan secara indoor di venue sama. Tapi majlis outdoor pada petang masih diteruskan.
“Masa mula majlis akad nikah, cuaca baru gerimis. Semua tetamu termasuk kami masih okay. Payung dah standby siap-siap,” ujarnya yang berasal dari Ampang, Selangor.
Menurut anak kedua daripada empat adik beradik itu, hujan lebat turun sejurus pengantin lelaki melafazkan akad nikah.
“Ngam-ngan saksi cakap sah, cuaca terus hujan lebat. Masa tu boleh digambarkan betapa huru-hara, ada yang menjerit, masing-masing bangun dan berlari untuk cari tempat berteduh.
“Ada yang berlari masuk ke dalam bangunan, ada yang meluru ke pelamin di tempat saya duduk bersama sejumlah hantaran kerana kawasan tersebut berbumbung,” katanya yang bergelar isteri kepada chef berusia 24 tahun, Muhammad Syamir Mohd Noor dengan sekali lafaz.
Bagaimanapun kata Erin majlis pernikahan terkawal kerana ia diadakan secara sederhana dengan kehadiran kira-kira 80 tetamu. Tetamu terdiri daripada keluarga terdekat termasuk sekumpulan pengiring bagi kedua-dua pengantin.
Eksekutif itu turut memberitahu, jamuan buat tetamu terpaksa diadakan di bahagian dalam kerana hujan lebat.
“Syukur semua family faham dan sporting. Semua yang datang adalah keluarga dan dulang boys dan dulang girls dalam kalangan teman-teman rapat, jadi senang nak control the crowd.
“Memang saya dan suami pada mulanya agak nervous sebab nak bernikah. Tapi cuaca hujan buat kami lebih reda dan mahu enjoy the moment,” tambahnya lagi.
Walaupun baju sebahagian tetamu, pengiring terutama pengantin lelaki basah atau terkena tempias dek hujan, namun bagi Erin ia tidak menghalang majlis berlangsung dengan meriah.
“Dulang boys dan dulang girls sporting join sesi fotografi saya dan suami masa tengah hujan. Malam sebelumnya ada majlis berinai tema ala Bollywood, sekali esoknya majlis nikah dalam berhujan dan basah macam dalam filem Bollywood,” ujarnya berseloroh.
Sumber: Mstar