Pengawal Keselamatan Ditetak Penceroboh Pejabat Imigresen Tenom | Tenom: Pengawal keselamatan cedera di tangan kiri selepas ditetak dengan senjata tajam oleh dua individu yang memecah masuk Pejabat Imigresen Tenom di sini, semalam.

Dalam kejadian antara 1 hingga 2 pagi itu, pengawal itu yang berusia 30 tahun turut diikat suspek yang dipercayai memecah masuk menerusi pintu belakang pejabat dengan memotong gril.

Suspek kemudian beredar dengan memanjat pagar belakang dan menaiki kereta jenis sedan warna merah yang sudah menunggu di halaman belakang pejabat.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pengawal keselamatan itu sudah membuat laporan pada 12.41 tengah hari semalam.

Katanya, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu tiba di pejabat Imigresen Tenom pada 10.30 pagi tadi untuk membuat pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati peralatan pejabat dan perkakasan masih berfungsi dan tidak berlaku kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya melaporkan ke pejabat polis berdekatan, malah dinasihat tidak membuat spekulasi dan menyebar perkara yang boleh mengganggu siasatan polis.

Sumber: Inforoadblock

Baca Juga: Tetak Kepala & Kunci Pak Guard Dalam Tandas, Penyamun Larikan 70 Iphone | Seorang pengawal keselamatan cedera akibat ditetak ketika bergelut dengan penyamun dalam satu kejadian di Kompleks Menara Condong Teluk Intan, Perak pada awal pagi semalam.

Memetik laporan Harian Metro, suspek yang membawa sebilah kapak telah memecah masuk kedai telekomunikasi di kompleks perniagaan tersebut dengan cara memotong ibu kunci shutter door menggunakan grinder.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang berusia lewat 60-an sedang berehat di kaunter tandas kompleks berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, siasatan awal mendapati suspek kemudian bertindak menetak kepala mangsa hingga mengalami kecederaan.

Suspek mengikat tangan dan kaki mangsa sebelum mengunci warga emas itu di dalam tandas. Suspek mencuri kesemua 70 unit telefon bimbit iPhone di empat rak pameran kedai berkenaan.

Susulan daripada laporan yang diterima, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menjumpai beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan. Menurut sumber, kerugian yang ditanggung pemilik premis berkenaan dianggarkan RM300,000.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek yang terlibat diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Hilir Perak di talian 0562992222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Sumber: Oh Bulan

Share.

Leave A Reply