Peniaga Runsing Harga Buluh Naik Menjelang Aidilfitri! Para peniaga terpaksa menaikkan harga buluh bagi menampung kos buluh yang semakin mahal menjelang Aidilfitri ini. Baca selanjutnya.
ALOR GAJAH: Para peniaga lemang runsing memikirkan harga buluh yang semakin mahal menjelang sambutan Aidilfitri sehingga memaksa mereka menaikkan harga jualan untuk menyerap kos tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Pekan Masjid Tanah dan Simpang Ampat di sini mendapati, rata-rata peniaga memaklumkan buluh lemang dijual pada harga RM1.40 hingga RM2.50 sebatang.
Seorang peniaga, Amran Kasim, 47, berkata, dia masih dapat membeli buluh pada harga lebih rendah daripada pasaran iaitu RM1.40 sebatang, namun menjangkakan harga itu meningkat dalam masa terdekat.
Katanya, kenaikan harga itu didorong permintaan tinggi memandangkan tahun ini adalah kali pertama sambutan Aidilfitri dibenarkan tanpa sekatan pergerakan.
“Saya telah 18 tahun berniaga lemang dan kenaikan buluh lemang berlaku setiap tahun. Dulu saya beli buluh 80 sen sebatang, tapi sekarang sudah RM1.40 sebatang. Saya sendiri buntu memikirkan cara untuk menyerap kos ini.
“Kalau naikkan harga lemang, bimbang pula pelanggan lari. Jika keadaan ini berterusan, bagaimana saya hendak jual lemang pada harga berpatutan dan tidak mengecilkan margin untung sendiri,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohammad Sayuti Zakaria, 35, memberitahu, dia membeli buluh pada harga RM2 hingga RM2.50 sebatang bergantung kepada saiz.
Katanya, kenaikan itu sangat merunsingkan tambahan pula bahan mentah lain seperti santan dan pulut turut menunjukkan trend sama.
“Saya terpaksa naikkan harga jualan sedikit apabila harga buluh naik. Peniaga tidak ada masalah untuk menjual mahal sedikit, tetapi kami bimbang penerimaan pelanggan sebaliknya.
“Mereka akan kata mahal sedangkan kami terpaksa menanggung kos tinggi. Baru tahun ini terasa kenaikan harga buluh kerana semua orang sudah boleh beraya, jadi permintaan buluh sangat tinggi,” katanya.
Sumber: Utusan