Penularan Omicron Tidak Dapat Dielakkan. Ini Nasihat TEGAS YB KJ. | KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha memperlahankan gelombang penularan jangkitan COVID-19 menerusi varian Omicron bagi mengelak pelaksanaan langkah kawalan sekatan secara drastik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika menegaskan perkara itu berkata, penularan varian membimbangkan (VOC) yang berasal dari Afrika Selatan itu sememangnya tidak dapat dielakkan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berwaspada, termasuk dengan melakukan saringan secara berkala khususnya jika ingin mengadakan pertemuan dengan ahli keluarga lain.

“Saya amat sarankan saringan secara berkala jika anda ingin berjumpa dengan sanak-saudara.

“Omicron tidak dapat dielakkan. Saya ingin cuba memperlahankan gelombang (Omicron) yang bakal tiba, dengan sebaik mungkin.

“Ini supaya kita tidak perlu mengambil keputusan melaksanakan langkah drastik yang bakal menjejaskan ekonomi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM), Sabtu lalu memaklumkan, sebanyak 62 kes COVID-19 varian Omicron dikesan di Malaysia, dengan 61 kes adalah jangkitan import dari luar negara, manakala satu kes lagi masih dalam siasatan yang disyaki jangkitan tempatan.

Mengikut taburan data negeri pula, Omicron hari ini dilaporkan di Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Menjelang ambang tahun baharu, Khairy turut menasihatkan orang ramai yang ingin menyertai aktiviti sosial untuk mengamalkan langkah berkaitan bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

“Lima saranan ingin diberikan KKM ialah lakukan ujian kendiri sebelum berkumpul, elak daripada menyertai aktiviti jika tidak sihat serta buka tingkap dan pintu untuk pengudaraan yang baik.

“Turut digalakkan ialah mengadakan aktiviti di luar rumah dan sentiasa pakai pelitup muka serta hanya tanggalkan ketika waktu makan atau minum,” katanya.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply