Kanak-Kanak Paling Bijak Di Dunia, Miliki IQ Lebih Tinggi Daripada Albert Einstein | LONDON: Seorang pelajar sekolah berusia 12 tahun digelar sebagai kanak-kanak paling bijak di dunia selepas mendapat markah penuh dalam ujian Mensa.

Lapor Daily Mail, Barnaby Swinburn dari Bristol diterima masuk ke kelab kecerdasan minda (IQ) tinggi selepas mendapat markah tertinggi sebanyak 162 dalam kalangan umurnya.

Pencapaian itu turut menewaskan genius Albert Einstein yang mempunyai tahap IQ sebanyak 160.

Ibu bapa pelajar itu, Ghislaine dan Christopher Swinburn berkata, anaknya sudah mendaftar masuk ke universiti dan mengikuti pengajian dalam pengaturcaraan komputer.

“Matematik adalah mata pelajaran kegemaran anak saya dan menduduki ujian Mensa adalah pilihannya sendiri.

“Kami tidak pernah memaksanya melakukan latihan matematik dan setiap pilihan yang dibuat merupakan keputusannya sendiri,” katanya.

Mengimbas kembali kenangan mengenai anaknya, Ghislaine berkata, Swinburn mula jatuh cinta dengan matematik sejak dia berusia empat tahun.

Menurut ibunya, ketika itu anaknya tidak boleh tidur kerana sedang mengira berapa banyak saat dalam setiap jam.

Swinburn memberitahu ingin menduduki ujian Mensa bagi menguji kebolehan dirinya lebih baik dan berjaya menduduki ujian itu, 11 Disember lalu.

Mensa yang dikenali sebagai Persatuan IQ Tinggi mempunyai lebih 20,000 ahli dari pelbagai latar kehidupan dan 145,000 ahli dari seluruh dunia.

Secara purata, golongan dewasa mempunyai tahap IQ sebanyak 100, sementara skor atas 140 dianggap sebagai genius.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply