Perselisihan Faham Urusan Jual Beli Tayar Kereta Punca Dibunuh.

| January 6, 2021 | 0 Comments

Perselisihan Faham Urusan Jual Beli Tayar Kereta Punca Dibunuh. | Puchong: Perselisihan faham dalam urusan jual beli tayar kereta dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang ahli perniagaan yang dilaporkan hilang pada 31 Disember lalu.

Mangsa yang berusia 70 tahun dilaporkan hilang selepas keluar menaiki kereta milik pelanggannya di sebuah pusat servis kenderaan di Kampung Kayu Ara, Damansara di Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan dibuat anak mangsa berusia 44 tahun selepas mendapati ayahnya masih tidak pulang ke rumah pada 9 malam.

“Pengadu dimaklumkan oleh adiknya yang menerima mesej daripada sebuah bank memaklumkan terdapat dua transaksi pada kad kredit milik bapanya.

“Susulan itu, pihaknya menahan seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun di Kuala Klawang, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu selepas siasatan mendapati suspek menggunakan kad kredit milik mangsa di sebuah pasar raya di daerah berkenaan.

“Hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek mendedahkan lokasi mayat mangsa yang dipercayai dibunuh beberapa hari lalu dalam but kereta Volvo berwarna hijau milik pelanggan mangsa di Taman Wawasan, malam tadi,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati suspek adalah seorang pemilik bengkel dan ada menjalankan urusan jual beli tayar kereta dengan mangsa yang dianggarkan berjumlah RM1,100.

“Kami percaya perselisihan faham berkaitan urusan itu menjadi motif dalam kejadian ini. Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti bagaimana mangsa dibunuh.

“Mayat warga emas itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Berdasarkan tinjauan di lokasi kejadian mendapati mayat lelaki berkenan sudah berbau.

Polis juga terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengumpil but belakang kereta.

Tengah malam tadi dilaporkan lelaki warga emas itu dipercayai dibunuh ditemukan dalam but sebuah kereta di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan di sini.

Sumber : Metro

Tags: , , , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *