Pertikai Lantikan Marhamah Rosli Sebagai Timb Menteri Agama. Ini Jawapan Menteri Agama.
“Kita perlu melihat sesuatu isu dari sudut yang lebih adil dan menapis maklumat dengan beretika”
Putrajaya: Pemilihan Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tentu melalui pertimbangan yang bijaksana.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata. Orang ramai dinasihatkan agar tidak bersikap terlalu menghukum atau membuat penilaian terburu-buru terhadap isu yang tular di media sosial.
Siapa Ustazah Marhamah Rosli? Ini Profil Timbalan Menteri Agama Yang Baharu Dilantik
Katanya, masyarakat perlu mengamalkan sikap tabayyun dengan membuat siasatan serta verifikasi terhadap setiap maklumat yang diterima. Selain tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu atau khabar angin.
“Kita perlu melihat sesuatu isu dari sudut yang lebih adil dan menapis maklumat dengan beretika supaya keputusan dibuat tepat, adil serta bermanfaat kepada diri dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu membabitkan timbalannya selepas menerima kunjungan hormat pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara, di pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.
ISU MARHAMAH UNDANG KENCAMAN
Isu berkaitan Marhamah yang tular sebelum ini mengundang pelbagai reaksi termasuk kecaman segelintir netizen.
Marhamah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan mengangkat sumpah sebagai Senator pada 13 Disember lalu di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Pelantikan itu susulan pengumuman perubahan barisan Kabinet Kerajaan MADANI oleh Perdana Menteri yang menyaksikan pertukaran portfolio beberapa menteri dan timbalan menteri, termasuk pelantikan muka baharu.
Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan membentuk satu pasukan yang bergerak seiring agenda negara seperti dihasratkan Perdana Menteri.
Zulkifli berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Marhamah. Sekali gus membuka ruang kepada pembentukan pasukan yang mantap bagi memperkukuh pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.
“Isu berkaitan Marhamah sebenarnya sudah selesai dari sudut agama. Selepas perbincangan dan penyelesaian dicapai bersama pihak berautorit. Namun persepsi negatif masih wujud akibat maklumat yang tidak difahami sepenuhnya,” katanya.
Zulkifli turut menyifatkan Marhamah sebagai seorang tokoh yang mempunyai persona kuat dan berpengaruh. Dengan pandangan yang sering mendapat perhatian kerana kewibawaan serta pendekatannya dalam berhujah.
Sumber : HM




