Agensi kerajaan dan syarikat swasta disaran menyelaraskan semula harga kontrak dan menyelesaikan isu tenaga kerja dengan pengambilan warga Rohingya, bagi menyelamatkan kontraktor yang kini terjejas termasuk kesan pandemik COVID-19.

PKMM Cadang Benarkan Rohingya Bekerja

Penyelarasan harga kontrak dan cadangan mengambil tenaga kerja warga Rohingya antara enam kaedah penyelesaian baharu yang dicadangkan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM).

Presidennya, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, berkata langkah proaktif dan kaedah penyelesaian baharu penting untuk dikaji dan dilaksanakan dengan segera, bagi membolehkan kontraktor meneruskan operasi.

Katanya, kenaikan harga bahan binaan dan sewa peralatan serta sewaan mesin yang tidak terkawal, memerlukan tindakan agensi kerajaan dan syarikat swasta untuk menyelaras kadar harga kontrak bersesuaian dengan harga semasa.

Jelasnya, harga sedia ada terlalu rendah yang akan menyebabkan kerugian kepada kontraktor.

Tambahnya dalam satu kenyataan, isu kekurangan tenaga kerja perlu ditampung dengan alternatif mengambil tenaga kerja membabitkan kelompok pelarian Rohingya dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk didaftarkan permit tenaga kerja.

Pada masa sama, Mohamed Fadzill, berkata kerajaan juga wajar mengoptimumkan penggunaan teknologi tinggi dalam kontrak pembinaan seperti penggunaan sistem model maklumat bangunan (BIM), sistem binaan industri (IBS) dan menggalakan inovasi bahan binaan terpakai dalam industri.

Beliau berkata, bilangan kontraktor juga perlu dikawal, selari dengan jumlah kerja atau tawaran tender yang dikeluarkan.

Ujarnya, penambahan jumlah kontraktor G1 amat ketara dan disarankan pendaftaran kontraktor G1 ditutup dengan segera.

Katanya lagi, langkah ini akan dapat membantu kontraktor G1 sedia ada dapat terus bertahan.

Selain itu, beliau berkata, penguatkuasaan dan kawal selia yang lebih ketat perlu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan monopoli oleh kontraktor asing yang tidak berdaftar.

Katanya, pihak kerajaan serta PBT disarankan supaya kerja pembaikan dan pengubahsuaian bangunan serta kediaman persendirian dilaksanakan oleh kontraktor tempatan yang berdaftar melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Beliau berpendapat, agensi kerajaan juga disaran mengecilkan saiz harga kontrak projek mega dan bersaiz besar supaya kuantiti kontrak lebih banyak, membolehkan lebih ramai kontraktor terbabit.

Katanya, faktor utama yang menyumbang kepada masalah operasi kontraktor termasuklah kenaikan melampau bahan binaan, kekurangan tenaga kerja, pertambahan mendadak bilangan kontraktor berdaftar di pasaran serta kekurangan tawaran kontrak.

Sumber: Berita HarianĀ 

Share.

Leave A Reply