PM Umum Bantuan RM1,000 Untuk Isi Rumah Yang Terjejas Banjir | Kerajaan mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu akan disalurkan selepas kesemua mangsa yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pulang ke rumah masing-masing.
“Setiap ketua isi rumah kita akan memberi sumbangan RM1,000, bukan setiap individu,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan banjir di Pejabat Tanah Selangor di sini, pada Ahad.
Sejak September 2021, Kerajaan telah meningkatkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada RM1,000 (dari RM500 sebelum ini) bagi setiap isi rumah.
Bayaran bantuan ini akan disegerakan bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana ini.
— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) December 19, 2021
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan Persekutuan juga bersetuju menyediakan sumbangan awal berjumlah RM100 juta bagi seluruh negara sebagai bantuan pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur-infrastruktur lain.
Peruntukan awal RM100 juta disediakan untuk membaiki rumah dan infrastruktur yang rosak akibat banjir.
Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi tujuan ini.
Peruntukan ini akan ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan.
— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) December 19, 2021
Menurut Perdana Menteri, beliau menyedari banyak kerosakan yang berlaku dan jumlah itu akan dipertingkatkan pada masa-masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 pada September lalu kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana akan dipercepatkan di kawasan-kawasan banjir di kesemua negeri termasuk Selangor.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GILC) masing-masing bersetuju untuk memberi geran padanan RM20 juta kepada kerajaan.
“Untuk peringkat awal, kita mengadakan perbincangan semalam dan ini bermaksud kita ada RM40 juta back to back. Itu antara bantuan yang akan berikan segera dalam usaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir,” kata Perdana Menteri lagi.