Polis Dedah Punca Suspek Tikam Mangsa
“Siasatan mendapati hanya pisau digunakan untuk menikam mangsa ketika kejadian”
SHAH ALAM – Dua senjata yang dirampas dalam kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa dipercayai dibeli menerusi platform dalam talian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pisau serta kerambit berkenaan dibeli secara dalam talian.
“Siasatan mendapati hanya pisau digunakan untuk menikam mangsa ketika kejadian, manakala kerambit tidak digunakan.
KELUARGA TIDAK TAHU
“Selain itu, berdasarkan siasatan, keluarga suspek tidak mengetahui mengenai senjata yang dimiliki suspek itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Katanya, polis kini masih menyemak tempoh suspek memiliki senjata berkenaan.
“Setakat ini, kita hanya mendapati kaedah pembelian senjata itu, namun sejak bila suspek memilikinya masih dalam siasatan lanjut.
“Semakan turut mendapati tiada pemeriksaan dilakukan terhadap beg-beg pelajar sebelum memasuki sekolah berkenaan sebelum ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Selasa. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) maut. Disyaki ditikam oleh seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini.
Menurut laporan, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah, manakala suspek merupakan pelajar sekolah yang sama.
DIREMAN 7 HARI
Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, bagi membantu siasatan kes menikam pelajar perempuan 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini.
Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.
Suspek yang juga pelajar Tingkatan Satu (Kelas Peralihan) direman sehingga Selasa minggu depan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding ini, suspek yang memakai baju oren diwakili peguam, Anuar Ezzad.
Usaha media untuk mengambil gambar suspek ketika dibawa ke mahkamah tidak berjaya, kerana pelajar berkenaan dibawa menerusi laluan dalam ke lokap sementara.
PUNCA UTAMA
Suspek kes tikam pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Petaling Jaya semalam, tidak pernah meluahkan perasaan cinta kepada mangsa.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata sedemikian berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
“Setakat siasatan hingga kini, kita percaya suspek mempunyai perasaan kepada si mati tapi tidak dikongsikan kepada si mati.
“Ini lebih kepada memendam perasaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Ditanya jika mangsa ada mengenali suspek, Shazeli berkata, kedua-dua remaja itu berlainan kelas dan umur, jadi mereka dipercayai tidak berinteraksi antara satu sama lain.
Semalam, media melaporkan dakwaan cinta ditolak antara sudut yang disiasat polis berhubung kes tikam pelajar perempuan berusia 16 tahun hingga maut di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, dakwaan perkara itu tersebar di media sosial.
“Perkara itu turut berada dalam sudut siasatan pihaknya namun perlu diteliti lanjut.
“Proses siasatan masih lagi berjalan dan dilakukan secara menyeluruh. Namun apa sahaja maklumat perlu diteliti dahulu,” katanya.




