Polis Wanita Kantoi Miliki Air Ketum. Seorang anggota polis wanita dan teman lelaki menghadapi pertuduhan memiliki air ketum sebanyak 2.5 liter di sebuah rumah. Mereka mengaku tidak bersalah berikutan hal itu. Baca selanjutnya.

polis

KOTA BHARU: Seorang anggota polis wanita bersama teman lelaki dan tiga rakan mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki air ketum sebanyak 2.5 liter di sebuah rumah, Khamis lalu.

Raja Rozalia Fadila Raja Mamat, 30, yang berpangkat Lans Koperal bersama Muhammad Faries Aizat Ruslan, 23; Bidah Napi, 30; Anis Najiehah Muhammad Anggelan, 27 dan Wan Muhammad Alif Wan Yusoff, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Che Ani.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka berempat didakwa bersama-sama memiliki cecair racun mitragynine iaitu ketum sebanyak 1.5 liter di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh-Kubang Kerian, di sini kira-kira pukul 3.25 pagi pada 7 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki 1 liter lagi cecair racun sama di lokasi dan waktu yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tempoh empat tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Nursyafiqah Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.

Terdahulu, Nursyafiqah menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap kesemua tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Intan Nor Nadhirah memohon jaminan rendah dikenakan kepada tertuduh terutamanya terhadap Raja Rozalia Fadila yang merupakan ibu tunggal dua orang anak dengan pendapatan RM1,300 sebulan.

Menurutnya, empat lagi tertuduh pula bekerja sebagai peniaga dalam talian dan peniaga kosmetik dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM4,500 bagi kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 13 Jun depan sebutan semula kes. Kesemua tertuduh membayar jaminan tersebut.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply