Ratusan Pelarian Rohingya Hilang Di Kem Indonesia.

| January 28, 2021 | 0 Comments

Ratusan Pelarian Rohingya Hilang Di Kem Indonesia. | JAKARTA: Ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia, kata pihak berkuasa dan sumber hari ini.

Hanya 112 pelarian masih tinggal di kem itu yang terletak di Lhokseumawe, Aceh berbanding 400 etnik Rohingya yang tiba di negara itu antara Jun dan September tahun lalu.

Setakat ini, pihak berkuasa Indonesia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat mengesahkan kedudukan pelarian minoriti Islam dari Myanmar itu.

Bagaimanapun, menurut ketua pasukan petugas Rohingya di Lhokseumawe, Ridwan Jamil, pelarian terbabit disyaki menghubungi penyeludup untuk membawa mereka menyeberangi Selat Melaka menuju ke Malaysia.

“Buat masa ini, kami tidak tahu ke mana mereka pergi, namun mereka boleh melepaskan diri jika mendapat peluang kerana memang itu matlamat mereka (untuk ke Malaysia),” katanya.

Baru-baru ini, sekurang-kurangnya 17 etnik Rohingya dari kem pelarian Lhokseumawe dan puluhan lagi disyaki penyeludup, ditahan polis beberapa ratus kilometer di selatan bandar Medan.

Menurut pihak berkuasa, bandar berkenaan kerap dijadikan lokasi persinggahan untuk menyeludup masuk ke Malaysia.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Mitra Suryono, berkata semua etnik Rohingya itu sudah diminta untuk kekal di kem masing-masing berikutan risiko tinggi jika melakukan perjalanan berkenaan.

“Namun, mereka tetap pergi walaupun kami berulang kali memaklumkan mengenai bahaya dan risikonya, terutama jika menggunakan khidmat penyeludup.

“Kita perlu ingat bahawa kebanyakan mereka memiliki saudara-mara di negara lain seperti Malaysia dan ini mungkin antara sebab mereka meneruskan perjalanan,” katanya.

Kumpulan hak asasi menyalahkan kerajaan Indonesia yang mengurangkan kawalan keselamatan secara drastik di kem pelarian apabila etnik Rohingya diletakkan di bawah pemantauan UNHCR bulan lalu.

Walaupun Indonesia tidak menandatangani konvensyen antarabangsa mengenai pelarian, langkah itu dilihat membelakangkan tanggungjawab melindungi mereka, kata Pengarah Amnesty International Indonesia, Usman Hamid. – AFP

Sumber : BH

Tags: , , , , , ,

Category: DUNIA, INFORMASI, JENAYAH, KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *